Sindiket edar dadah tumpas, bekas anggota polis antara enam suspek ditahan

5 Dis 2025, 7:50 AM
Sindiket edar dadah tumpas, bekas anggota polis antara enam suspek ditahan

PETALING JAYA, 5 DIS: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine dan ketamin yang bernilai RM13.8 juta menerusi dua siri serbuan di sekitar Lembah Klang dan Perak pada 1 Dis lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata serbuan turut menyaksikan penahanan enam lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 26 hingga 46 tahun termasuk seorang bekas anggota polis.

“Serbuan pertama dijalankan di kawasan parkir tingkat bawah (basement) sebuah pasar raya di Petaling Jaya yang dijadikan lokasi transaksi pengedaran dan pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard dan dua kereta Perodua Myvi.

“Dalam serbuan tersebut, polis menahan lima suspek dan merampas 263 bungkusan plastik disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 273 kilogram (kg) dan 98 bungkusan plastik disyaki ketamin seberat 101 kg,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, serbuan kedua dilakukan di pekarangan sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Simpang Pulai, Perak yang membawa kepada penangkapan suspek keenam yang berperanan sebagai peninjau, namun tiada barang salah ditemukan dalam kenderaan miliknya.

“Siasatan mendapati bekalan dadah tersebut dibawa masuk dari negara jiran di sebelah utara melalui Perlis menggunakan "laluan tikus" yang boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.

“Bekalan itu kemudiannya dibawa ke Lembah Klang untuk pasaran tempatan dan jumlah rampasan dianggarkan mampu menampung kegunaan seramai 1.7 juta penagih,” katanya.

Hussein berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama dan kedua positif dadah jenis ganja, manakala suspek ketiga dan keempat positif methamphetamine.

“Semakan rekod jenayah mendapati suspek kedua hingga keenam mempunyai rekod lampau, termasuk suspek keempat yang mempunyai 12 rekod kes dadah dan empat kes jenayah,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa lepas hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, selain dadah, polis turut menyita aset sindiket bernilai RM140,000 yang terdiri daripada dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kenderaan utiliti sukan.

Polis menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah yang menjadi musuh nombor satu negara, katanya.

-- BERNAMA

TAG: JSJN, dadah, tangkapan, methamphetamine, ketamin

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619