Reformasi PBT: MPSepang naik taraf sistem mohon lesen niaga, lebih pantas dan cekap

27 Nov 2025, 9:04 AM
Reformasi PBT: MPSepang naik taraf sistem mohon lesen niaga, lebih pantas dan cekap

SHAH ALAM, 27 NOV: Sistem permohonan lesen perniagaan termasuk lesen penjaja di bawah Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dinaik taraf sepenuhnya dengan kemudahan permohonan secara dalam talian.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan, penambahbaikan tersebut dijangka meningkatkan kecekapan proses permohonan serta kelulusan lesen.

Justeru, permohonan lesen penjaja bagi tahun depan boleh dikemukakan sepenuhnya secara dalam talian.

“MPSepang turut menambah baik inventori lokasi perniagaan dengan menyediakan senarai lokasi yang dibenarkan untuk aktiviti penjajaan, sekali gus mengelakkan permohonan membabitkan kawasan yang tidak sesuai atau tidak dibenarkan.

“Selain itu, kami membangunkan sistem rujukan standard yang lebih mudah difahami oleh penjaja dan pegawai,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut MPSepang, sehingga 30 Oktober lalu sebanyak 2,682 lesen aktif telah dikeluarkan.

Antara bentuk sokongan dan bimbingan lain kepada penjaja kecil ialah program U-PLATS di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, inisiatif pendigitalan, serta peluang penyertaan dalam acara rasmi MPSepang.

“Selain itu, terdapat penyertaan dalam karnival anjuran agensi daerah, negeri dan Persekutuan, selain khidmat nasihat di lapangan bagi permohonan lesen serta pengesyoran lokasi yang lebih sesuai,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 berkata Kerajaan Negeri komited meneruskan Reformasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Reformasi itu melibatkan penyeragaman permohonan permit dan lesen berisiko rendah seperti ubah suai rumah dan permit perniagaan sementara terpilih, yang ketika ini mengambil masa antara 14 hingga 30 hari, kepada tempoh yang lebih singkat.

Bagi fasa pertama pelaksanaannya, fokus diberikan kepada dua perkhidmatan utama iaitu permit ubah suai kediaman dan lesen penjaja. Untuk lesen penjaja, tempoh pemprosesan akan dipendekkan daripada 30 hari kepada 14 hari bekerja bagi memberi kelegaan dan kepastian kepada penjaja kecil serta usahawan mikro yang menjadi nadi ekonomi tempatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619