JKM seru penyaluran bantuan mangsa bencana diselaras elak pembaziran

25 Nov 2025, 1:51 PM
JKM seru penyaluran bantuan mangsa bencana diselaras elak pembaziran

PUTRAJAYA, 25 NOV: Semua bentuk bantuan dan sumbangan kepada mangsa bencana perlu diselaraskan terlebih dahulu bagi memastikan ia bersesuaian dengan keperluan serta mencukupi untuk mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

JKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu penting bagi mengelakkan berlakunya lambakan, pembaziran, pertindihan barangan bantuan dan kerosakan barangan yang tidak digunakan.

Menurut jabatan itu, pihaknya amat menghargai keprihatinan orang ramai dan pelbagai pihak yang sentiasa tampil menghulurkan bantuan ketika berlaku bencana di seluruh negara.

“Sehubungan itu, terdapat tiga saluran sumbangan kepada mangsa bencana iaitu melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Ibu Pejabat JKM atau JKM Negeri dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) serta PPS.

“Penyumbang boleh merujuk InfoBencanaJKM di pautan https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat berhubung status pembukaan PPS dan bilangan mangsa di PPS,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu memberitahu sebarang maklumat lanjut berhubung penyaluran sumbangan untuk tujuan berkenaan boleh diperoleh dengan menghubungi Bilik Gerakan JKMN.

Bagi penyumbang yang berada di Perlis, JKM memaklumkan, mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan JKMN di talian 04-970 8160, Kedah 04-700 1700, Pulau Pinang 04-650 5258/9, Perak 05-254 5505, Selangor 03-5545 5598, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur 03-401 0400 dan Negeri Sembilan 06-765 9332.

Selain itu, di Melaka 06-232 4670, Johor 07-233 0399, Pahang 09-565 0284, Terengganu 09-627 4262, Kelantan 09-741 6925, Sabah 088-255 133, Sarawak 082-374 888 dan WP Labuan 087-424 961.

Menurut laman sesawang InfoBencanaJKM, setakat 8.45 malam ini, sebanyak 19,847 mangsa banjir ditempatkan di 138 PPS di 10 negeri termasuk WP Kuala Lumpur.

Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 9,344 orang daripada 3,481 keluarga, dengan 41 PPS dibuka di empat jajahan terjejas iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619