Gudang Makanan Selangor tingkat stok beras tiga bulan, jamin bekalan mencukupi

19 Nov 2025, 4:52 AM
Gudang Makanan Selangor tingkat stok beras tiga bulan, jamin bekalan mencukupi

SHAH ALAM, 19 NOV: Kapasiti simpanan bekalan beras di Gudang Makanan Selangor (GMS) akan dipertingkatkan sehingga mampu menampung keperluan rakyat selama tiga bulan berbanding hanya sebulan ketika ini.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata, peningkatan kapasiti itu penting kerana gudang yang dilancar pada Mac lalu hanya menampung kira-kira 15 peratus keperluan penduduk Selangor bagi tempoh sebulan.

“Ini merupakan pelan kontigensi menangani krisis makanan khususnya sewaktu bencana alam seperti banjir. Dalam masa sama, gudang boleh menstabilkan harga apabila keadaan tersebut terjadi.

“Ketika ini penyimpanan stok bekalan makanan untuk tempoh sebulan iaitu pada kadar 15 peratus penduduk negeri dan seterusnya akan ditingkatkan kepada tempoh tiga bulan bagi sejumlah tujuh juta penduduk,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Pada Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan GMS sebagai usaha mengukuhkan jaminan rantaian bekalan dan memastikan kestabilan harga barang asas ketika krisis.

Beroperasi menggunakan fasiliti syarikat logistik Tiong Nam di Pelabuhan Klang, gudang tersebut menempatkan 5,000 tan beras dan 1,000 tan daging sejuk beku Allana yang mampu memenuhi keperluan hampir 20 peratus rakyat Selangor.

Sementara itu, Izham berkata pelbagai inisiatif diteruskan bagi memastikan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negeri terus kukuh, termasuk membuka kawasan projek pertanian di bawah Program Selangor Smart Agro Park dan Agro Farm.

Katanya, Kerajaan Negeri turut meningkatkan hasil pengeluaran melalui program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) merangkumi tanaman, penternakan dan akuakultur di 22 kawasan seluas lebih 2,000 hektar.

“Usaha negeri juga melalui pelaksanaan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang menumpukan beberapa perkara antaranya tanaman bernilai tinggi. Berikutan itu negeri sedang meluaskan tanaman seperti melon, halia dan vanila.

“Perhatian turut diberikan kepada program yang meningkatkan hasil dari kebun komuniti supaya membekalkan hasil pertanian. Setakat ini, lebih 200 kebun komuniti berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2026, Amirudin turut mengumumkan RM4.85 juta diperuntukkan bagi memperkukuh keterjaminan bekalan makanan, manakala RM9.5 juta disediakan bagi pembangunan taman agro makanan dan tanah berpotensi untuk mengukuhkan industri asas tani negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619