FIFA: Pemalsuan dokumen jejas asas integriti bola sepak

18 Nov 2025, 6:51 AM
FIFA: Pemalsuan dokumen jejas asas integriti bola sepak
FIFA: Pemalsuan dokumen jejas asas integriti bola sepak

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menegaskan bahawa kesalahan yang diteliti dalam prosiding melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berkaitan pemalsuan dokumen, menjejaskan asas integriti bola sepak.

Dokumen setebal 63 muka surat dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA hari ini, menekankan kelayakan pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan bukan sahaja keperluan prosedur tetapi juga prinsip asas yang melindungi kredibiliti pertandingan antarabangsa serta kepercayaan pihak berkepentingan di seluruh dunia.

“Sebarang cubaan memalsukan dokumen dengan tujuan memperdaya badan pengelola dan mengelak daripada peraturan yang berkuat kuasa merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip ini.

“Tindakan sedemikian merosakkan keadilan permainan, menghakis keyakinan awam dan tidak boleh diterima dalam apa-apa jua keadaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa FIFA memutuskan bahawa tiada asas untuk membatalkan keputusan rayuan dan dengan itu semua rayuan pemohon ditolak sepenuhnya.

Jawatankuasa Rayuan FIFA juga memaklumkan bahawa kos prosiding akan ditanggung pemohon secara sama rata, selaras dengan Perkara 49 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Pada 3 November lalu, FIFA menolak rayuan dikemukakan FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman dikenakan Jawatankuasa Tatatertib terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM11,000) dan kesemua tujuh pemain digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619