Selangor jana RM40 juta setahun, sasar lonjak hasil dari sumber baharu

17 Nov 2025, 9:13 AM
Selangor jana RM40 juta setahun, sasar lonjak hasil dari sumber baharu

SHAH ALAM, 17 NOV: Selangor terus mengukuhkan kedudukan kewangannya apabila merekodkan puluhan juta ringgit hasil setahun melalui dividen anak syarikat, pelaburan serta caj air, dengan sumber baharu seperti Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) dan gentian gelap dijangka melonjakkan lagi pendapatan negeri.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri mengutip kira-kira RM40 juta setahun sejak 2022 hasil dividen yang diperoleh daripada anak-anak syarikat dan disalurkan melalui Tabung Amanah Sumbangan Anak Syarikat, Badan Berkanun, Agensi Kerajaan Negeri Selangor (TASASBA).

Beliau turut memaklumkan bahawa caj pengambilan air mentah menjana RM35 juta tahun ini iaitu separuh daripada sasaran RM70 juta.

“ZDP masih dalam proses penggubalan, namun setelah berkuat kuasa kelak, kita menjangka ia dapat menyumbang sehingga RM100 juta, termasuk anggaran RM50 juta pada tahun hadapan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Amirudin berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Hulu Klang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai usaha Kerajaan Negeri mempelbagaikan sumber hasil.

Beliau menjelaskan pelaburan projek mini hidro berjaya menjana RM300,000 tahun lalu dan RM500,000 tahun ini melalui pinjaman RM10 juta, manakala Loji Janakuasa Pulau Indah (PIPP) merekodkan pulangan RM20 juta daripada pinjaman RM150 juta dengan dividen 13.1 peratus.

"Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan Pelan Induk Dark Fibre tahun depan bagi menyokong operasi pusat data dan meningkatkan kapasiti sambungan internet di Selangor," katanya.

Mengulas program pelaburan Selangor Advance, Amirudin berkata inisiatif yang diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 melibatkan pelaburan sekitar RM275.38 juta bagi membantu kontraktor.

Katanya, setakat ini program itu memberikan pulangan RM64 juta, iaitu tujuh hingga lapan peratus lebih tinggi berbanding deposit tradisional atau beberapa dana pelaburan lain.

Menjawab kebimbangan Azmin berhubung keupayaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengekalkan pembayaran dividen, Amirudin menjelaskan sumbangan awal melalui TASASBA merupakan langkah asas sebelum MBI dan anak syarikatnya mula menjana pulangan lebih besar melalui pelaburan berstruktur seperti projek Pulau Indah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619