Pembangunan Bank Data Kebangsaan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

12 Nov 2025, 12:19 AM
Pembangunan Bank Data Kebangsaan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Pembangunan Bank Data Kebangsaan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Pembangunan Bank Data Kebangsaan serta tempoh masa pelaksanaannya menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Dr Ku Abd Rahman (PN-Kubang Pasu) meminta Menteri Digital menjelaskan tempoh masa yang diperlukan untuk membangunkan sistem berkenaan dan jangkaan beroperasi sepenuhnya.

Beliau juga ingin mengetahui mengenai protokol yang dilaksanakan bagi memastikan kualiti data, keselamatan, privasi dan interoperability (saling kendali) sistem itu pada sesi soal jawab lisan.

Pada sesi sama, Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) bertanyakan kepada Menteri Komunikasi mengenai langkah yang akan diambil bagi mempertahankan imej kerajaan yang dikatakan tidak dapat mengawal media yang didakwa memburukkan pemimpin dan pentadbiran.

Turut menarik perhatian, soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) kepada Menteri Kewangan berhubung penjualan diesel.

Beliau ingin tahu sama ada berlaku pengurangan jualan diesel di Semenanjung Malaysia serta jumlah penjimatan yang telah dicapai oleh kerajaan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel sejak Jun 2024.

Selepas sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619