KBS konservatif promosi e-Sukan di sekolah, risau ketagihan gajet makin serius

10 Nov 2025, 6:35 AM
KBS konservatif promosi e-Sukan di sekolah, risau ketagihan gajet makin serius

SHAH ALAM, 10 NOV: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil pendekatan konservatif dalam mempromosikan e-Sukan di sekolah berikutan kebimbangan terhadap ketagihan gajet dalam kalangan pelajar.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata buat masa ini promosi aktif e-Sukan di sekolah belum dilaksanakan.

"Walaupun menyokong atlet yang mewakili Malaysia, KBS mengambil pendekatan konservatif dalam promosi e-Sukan terutama di peringkat sekolah memandangkan penggunaan gajet berlebihan masih menjadi kebimbangan utama.

"Sehingga kini, promosi aktif e-Sukan di sekolah belum dilaksanakan. Namun, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyediakan garis panduan pelaksanaan yang dijangka bermula tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu) di Dewan Rakyat mengenai isu ketagihan dan masalah sosial dalam kalangan remaja.

Menurutnya, sokongan KBS hanya diberikan kepada penganjur yang menggunakan judul permainan diluluskan Jawatankuasa Penilai Judul Permainan, yang turut melibatkan Unit Psikologi dan Kaunseling Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kandungan permainan sesuai dengan konteks pendidikan.

"KBS melalui Majlis Sukan Negara dan Impact Integrated, turut menyediakan input termasuk dokumen rujukan utama (NASDAQ) bagi penyediaan draf garis panduan e-Sukan oleh KPM.

"KBS dan KPM akan terus berbincang bagi memastikan perkembangan e-Sukan selari dengan kepentingan pelajar," katanya.

Menegaskan aspek keselamatan sebagai keutamaan, Hannah berkata: “Kita akan pastikan yang dibenarkan untuk bertanding, melindungi kanak-kanak. Itu adalah prioriti utama KBS, KPM dan KKM."

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619