SUKMA 2026: Selangor ada kelebihan acara e-sukan, pertaruh Sekys dan Stormie

4 Feb 2026, 6:00 AM
SUKMA 2026: Selangor ada kelebihan acara e-sukan, pertaruh Sekys dan Stormie

SHAH ALAM, 4 FEB: Selangor memiliki kelebihan dalam acara e-sukan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila sebahagian besar atlet kebangsaan dalam disiplin itu merupakan produk negeri berkenaan.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi bagaimanapun mengingatkan atlet agar tidak terlalu meletakkan keyakinan tinggi, sebaliknya menjadikan pengalaman beraksi di pentas dunia sebagai pendorong untuk meraih kejayaan.

Menurut beliau, pihaknya yakin acara e-sukan mampu menyumbang banyak pingat emas sekali gus membantu Selangor bergelar juara.

“Kalau kita tengok, kebanyakan atlet kebangsaan ada dalam e-sukan kita tetapi saya tak nak atlet terlalu meletakkan keyakinan tinggi. Hari ini mungkin kita bagus tapi esok kita tak tahu. Atlet perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya harap dengan status mereka sebagai atlet kebangsaan, ia tidak membebankan namun jadikan ia sebagai dorongan untuk memberikan sesuatu kepada Selangor,” katanya kepada Media Selangor.

Mohamad Nizam mengesahkan dua pemain Selangor Red Giants (SRG), Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys) dan Hazziq Danish (Stormie) akan mewakili kontinjen Selangor pada temasya dwitahunan itu.

Sementara itu, Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (YumS) dilantik sebagai pembantu jurulatih memandangkan usianya telah melebihi had umur yang ditetapkan.

“Dalam SRG, kita ada dua yang layak, Sekys dan Stormie. Insya-Allah mereka akan membantu atlet baharu yang akan berjuang bersama mereka nanti,” katanya.

Pada Julai 2024, SRG menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia untuk menjuarai kejohanan antarabangsa e-sukan selepas menewaskan Filipina Falcons AP Bren Sport 4-3 pada kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legends Bang Bang (MLBB).

Pemain jungler SRG, Sekys, dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) MSC MLBB 2024, manakala kejayaan itu menyaksikan pasukan berkenaan membawa pulang trofi serta hadiah wang tunai berjumlah $AS1 juta (RM4,669,303.78).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619