Kuarters pekerja berpusat jadi zon penampan pandemik, bentuk ekosistem baharu

6 Nov 2025, 5:30 AM
Kuarters pekerja berpusat jadi zon penampan pandemik, bentuk ekosistem baharu
Kuarters pekerja berpusat jadi zon penampan pandemik, bentuk ekosistem baharu
Kuarters pekerja berpusat jadi zon penampan pandemik, bentuk ekosistem baharu
Kuarters pekerja berpusat jadi zon penampan pandemik, bentuk ekosistem baharu

KLANG, 6 NOV: Pembinaan Kuarters pekerja berpusat (CLQ) yang semakin banyak di negeri ini menjadi zon penampan penting sekiranya negara kembali berdepan endemik atau pandemik seperti Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif mewujudkan kawasan berpusat itu membentuk ekosistem baharu yang dapat meningkatkan daya tahan negeri sekali gus memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, pentadbiran negeri perlu mengambil iktibar daripada penularan virus Covid-19, memandangkan bencana kesihatan seumpama itu pernah berlaku berulang kali pada masa lalu dan memberi kesan kepada pelbagai sektor.

“Kerajaan Negeri dan rakyat berdepan dengan cabaran termasuk kemungkinan pandemik atau penyakit berskala besar sebagaimana berlaku pada 2020 dan 2021. Ini bukan perkara baharu kerana ratusan tahun dahulu influenza Spanish Flu sudah menular.

“Pada 2020, kita terselamat daripada penyebaran SARS namun Singapura terpaksa melakukan beberapa penutupan. Ia memberi kesan kepada sektor pelancongan dan perhotelan. 10 sebelum itu kita berdepan virus JE. Dalam 30 tahun kita sudah melalui kemungkinan ini berulang kali,” katanya hari ini.

Berucap merasmikan majlis pecah tanah CLQ Teratai di Meru, Amirudin berkata pengalaman itu membuktikan perlunya mengubah ekosistem penempatan supaya lebih tersusun dan tahan menghadapi krisis kesihatan.

“Antara isu besar ketika itu adalah sistem pengudaraan dan CLQ ini merupakan ekosistem baharu yang dilihat berjaya atau mampu meningkatkan daya tahan negeri kalau kita berdepan situasi sama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata asrama berpusat ini tidak hanya ditawar kepada warganegara asing sebaliknya semua pekerja, namun penempatannya bergantung kepada permintaan syarikat.

Katanya CLQ turut menjadi alternatif untuk golongan bujang mengurangkan kos sara hidup memandangkan kadar sewa lebih murah.

“Pekerja di Selangor ini datang dari seluruh negara. Sebahagian mereka bujang, tidak berkeluarga. Lebih nikmat dan berpatutan jika mereka ditawarkan penempatan ini berbanding menyewa rumah, risiko berdepan masalah kebersihan.

“Kita lebih menggalakkan pekerja duduk di CLQ untuk tangani beberapa isu terutama berdepan cabaran mendapatkan tempat selesa dengan harga berpatutan,” katanya.

Sementara itu, pengarah urusan bersama Kumpulan Q Centre yang menjadi pemaju berkata CLQ Teratai menjadi kuarters berpusat terbesar di Klang dengan menawarkan sehingga 9,000 katil.

Kata Datuk Simon David Leong, kerja pembinaan dijadual bermula Januari 2026 dan dijangka selesai dalam tempoh dua tahun menjelang hujung 2027.

“Kami bergerak seiring aspirasi Kerajaan Selangor untuk menempatkan kesemua pekerja di CLQ. Inisiatif ini menyokong perancangan industri eksport,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619