Rumah teres diserbu, dadah bernilai RM11.4 juta dirampas

5 Nov 2025, 5:35 AM
Rumah teres diserbu, dadah bernilai RM11.4 juta dirampas
Rumah teres diserbu, dadah bernilai RM11.4 juta dirampas
Rumah teres diserbu, dadah bernilai RM11.4 juta dirampas
Rumah teres diserbu, dadah bernilai RM11.4 juta dirampas

SHAH ALAM, 5 NOV: Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah dengan rampasan bernilai RM11.4 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata serbuan dilakukan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Sabtu dan Ahad lalu.

Dalam operasi itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun yang bertindak sebagai penjaga stor penyimpanan dadah.

“Pemeriksaan di rumah terbabit menemui pelbagai jenis dadah antaranya pil ekstasi seberat 25.24 kilogram (kg), syabu (23.10kg), serbuk MDMA (22.43kg), dan ketamin (13.40kg).

Turut dirampas 300 peket plastik berisi ketamin seberat 11.51kg, serta 6,000 papan pil eramin 5 seberat 19.41kg,” katanya dalam sidang media di IPK Johor, hari ini, lapor Harian Metro.

Keseluruhan rampasan berjumlah 115.09kg dengan nilai pasaran dianggarkan RM11.40 juta, menjadikan ia antara kejayaan terbesar JSJN Johor tahun ini.

Ab Rahaman berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Julai lalu dengan menjadikan rumah teres berpagar dan berpengawal sebagai lokasi penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Selain dadah, polis turut menyita sebuah kereta Toyota Vios dan wang tunai RM10,000.

“Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes jenayah dan trafik.

"Rumah itu bukan sahaja dijadikan stor, tetapi turut digunakan untuk memproses dadah serbuk menjadi cecair sebelum dijual sebagai minuman di pusat hiburan,” katanya.

Suspek kini direman tujuh hari hingga 10 November ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619