Suami isteri antara empat ditahan bersama dadah bernilai lebih RM1 juta

9 Sep 2025, 11:22 AM
Suami isteri antara empat ditahan bersama dadah bernilai lebih RM1 juta

KOTA KINABALU, 9 SEPT: Sepasang suami isteri antara empat individu ditahan bersama dadah jenis ketamin seberat 20.7 kilogram (kg) bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan di sebuah premis perkhidmatan kurier di Kepayan di sini, Khamis lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata dalam serbuan pada 12.15 tengah hari itu, turut disita lima kenderaan mewah, komputer, serta barangan lain bernilai RM3.18 juta, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan RM4.21 juta.

“Berdasarkan pemeriksaan, kita menemukan dua karung mengandungi 20 bungkusan dadah jenis ketamin dan seterusnya menahan seorang lelaki yang juga suspek utama.

“Hasil soal siasat ke atas suspek utama membawa kepada tangkapan tiga lagi individu termasuk seorang wanita pada 5 Sept. Kesemua suspek berusia antara 41 hingga 56 tahun dan suspek utama didapati positif dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata rampasan tersebut selang seminggu selepas kejayaan pertama merampas lebih 40 kg dadah jenis syabu.

Jauteh berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket pengedaran dadah tersebut mempunyai kaitan dengan tangkapan dan rampasan dadah pada 28 Ogos lepas, berdasarkan modus operandi yang menggunakan perkhidmatan kurier bagi membawa masuk dadah dari Semenanjung ke Sabah.

Beliau berkata dadah jenis ketamin itu dibungkus bersama barangan lain seperti mi segera dan lampin pakai buang yang dihantar melalui perkhidmatan kurier

Jauteh berkata kesemua tiga suspek lelaki dan seorang wanita tersebut kini direman hingga 11 Sept dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619