Penjawat awam tidak diwajib pakai tali leher waktu bekerja, mesyuarat - JPA

31 Okt 2025, 2:36 PM
Penjawat awam tidak diwajib pakai tali leher waktu bekerja, mesyuarat - JPA

PUTRAJAYA, 31 OKT: Semua pegawai awam tidak lagi diwajibkan memakai tali leher semasa waktu bekerja dan ketika menghadiri mesyuarat, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Arahan tersebut dinyatakan dalam Surat Edaran bertarikh 31 Okt 2025 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, selaras dengan pendekatan pentadbiran Kerajaan MADANI sejak November 2022 yang menekankan suasana kerja lebih fleksibel dan mesra rakyat tanpa menjejaskan profesionalisme penjawat awam.

“Dalam mengambil kira realiti iklim tempatan serta keperluan langkah kecekapan dan penjimatan tenaga mengikut Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2014, kerajaan bersetuju agar semua pegawai awam tidak lagi diwajibkan memakai tali leher semasa bekerja dan ketika menghadiri mesyuarat,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Dahlan berkata pemakaian tali leher masih diwajibkan bagi majlis rasmi tertentu seperti sambutan ketibaan ketua delegasi asing ke negara ini, serta mesyuarat, kolokium atau persidangan antarabangsa yang melibatkan pemimpin atau pembesar dari luar negara.

Selain itu, kementerian atau jabatan juga boleh menetapkan keperluan pemakaian tali leher bagi majlis atau program tertentu, dengan syarat perkara tersebut dinyatakan dengan jelas dalam surat atau e-mel jemputan bagi mengelakkan kekeliruan.

JPA turut memaklumkan bahawa selaras dengan ketetapan baharu itu, kewajipan pemakaian tali leher seperti yang dinyatakan dalam Perenggan A.5 Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian UP.7.2.3 mengenai Etiket Pakaian dan Penampilan Pegawai Awam kini dikecualikan daripada pelaksanaan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619