PM arah JPA sedia laluan khas penjawat awam Gred 1 naik ke Gred 5

9 Mac 2026, 3:35 AM
PM arah JPA sedia laluan khas penjawat awam Gred 1 naik ke Gred 5

PUTRAJAYA, 9 Mac: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyediakan laluan kenaikan pangkat bagi penjawat awam Gred 1 merangkumi kategori pembantu tadbir, pengkeranian dan kewangan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata laluan khusus membabitkan 125,000 penjawat awam itu bertujuan membolehkan penjawat awam Gred 1 dinaikkan ke Gred 5 dengan syarat-syarat khas yang ditetapkan.

Beliau berkata langkah berkenaan perlu dilaksana bagi membolehkan penjawat awam gred rendah mempunyai peluang kemajuan kerjaya di bawah pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Walaupun ada kenaikan ikut SSPA tetapi ada keperluan agar kategori yang paling rendah ini dapat ditingkatkan sedikit.

“Jadi bagi menambah baik peluang laluan kerja, saya telah minta JPA untuk sediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 naik ke Gred 5,” kata beliau ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata penjawat awam berkenaan perlu melalui beberapa ketetapan termasuk kehadiran kursus tertentu yang dikhaskan sebelum diberikan laluan kenaikan gred.

“Syaratnya (termasuk) tempoh perkhidmatan kelayakan dan kita bagi kursus khas yang sesuai dalam sekitar tiga atau dua minggu.

“Itu JPA sedang uruskan. Syarat itu supaya kita nak pastikan dia (penjawat awam) ikuti perkembangan (semasa) dan pendedahan tentang teknologi maklumat (IT),” kata beliau.

Perdana Menteri berkata proses kenaikan pangkat bagi kesemua penjawat awam ini perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada 1 Januari, 2027.

“KSN Shamsul Azri maklumkan kita boleh selesaikan kursus bagi 125,000 (penjawat awam) ini supaya kita dapat laksanakan kenaikan pangkat selewat-lewatnya 1 Januari tahun depan,” kata beliau.

Sementara itu, Shamsul Azri ketika ditemui media berkata laluan kenaikan pangkat ini adalah antara penambahbaikan yang dilaksanakan dibawah SSPA.

“Syarat utama (kenaikan pangkat) adalah kena jalani kursus. JPA akan tentukan dan kita akan mulakan Januari 2027,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619