Wartawan berhak tanya apa jua soalan: Fahmi

31 Okt 2025, 9:18 AM
Wartawan berhak tanya apa jua soalan: Fahmi

PUTRAJAYA, 31 OKT: Wartawan berhak mengemukakan apa jua soalan dalam menjalankan tugas mereka selaras dengan prinsip keterbukaan dan saling menghormati antara media dan kerajaan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata insiden seorang menteri yang didakwa mengugut seorang wartawan selepas bertanya mengenai penggunaan bahasa Inggeris bagi tema pelancongan dalam satu acara rasmi, telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Saya telah berhubung dengan menteri berkaitan mengenai isu ini dan beliau telah memberikan penjelasan. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, saya telah menyatakan bahawa pendirian kerajaan adalah sangat jelas, iaitu wartawan berhak untuk bertanya apa jua soalan dalam menjalankan tugas mereka sebagai wartawan.

“Setiap jawapan ataupun respons yang diberikan oleh menteri perlulah disampaikan dengan berhemah serta berlandaskan prinsip keterbukaan, di samping saling menghormati antara media dan pihak kerajaan,” katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Ditanya adakah terdapat arahan kepada menteri bahawa mereka boleh menghubungi organisasi media jika tidak berpuas hati dengan soalan wartawan, Fahmi berkata kerajaan tidak mengeluarkan arahan yang khusus mengenai perkara itu.

“Saya menyampaikan pandangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, saya menegaskan bahawa Perdana Menteri sendiri terbuka untuk menerima sebarang soalan dan pendirian kerajaan ialah wartawan berhak untuk bertanya apa jua soalan. Jadi, itu pendirian kerajaan,” katanya.

Ditanya adakah menteri berkenaan wajar meminta maaf, Fahmi berkata beliau dimaklumkan bahawa menteri berkenaan telah memberi komitmen untuk bertemu dengan pihak pengurusan organisasi media terlibat bagi menjernihkan keadaan.

“Pada pandangan saya, kita patut belajar daripada apa yang pernah berlaku dahulu dan saya rasa ada ruang untuk beliau bertemu dengan pihak Utusan Malaysia, untuk menyampaikan pesanan itu sendiri.

“Saya lihat beliau telah memaklumkan bahawa memang beliau akan bertemu dengan pihak pengurusan untuk cuba menjernihkan keadaan. Jadi, ini telah diberi komitmen oleh menteri berkenaan,” katanya.

Pada 29 Oktober, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilapor mengugut seorang wartawan selepas dia bertanya mengenai penggunaan bahasa Inggeris bagi tema pelancongan I Lite U yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Susulan itu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) semalam mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan menteri berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619