Buang sampah kecil mulai bulan depan boleh didenda RM2,000

26 Dis 2025, 5:51 AM
Buang sampah kecil mulai bulan depan boleh didenda RM2,000
Buang sampah kecil mulai bulan depan boleh didenda RM2,000

SHAH ALAM, 26 DIS: Mulai 1 Januari depan, individu yang membuang sampah kecil di tempat awam bakal berdepan denda sehingga RM2,000 dan perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata langkah itu diambil berikutan kebimbangan terhadap tahap kebersihan bandar yang semakin merosot akibat sikap segelintir individu yang terus membuang sampah merata-rata.

"Saya memandang serius dan amat kesal terhadap laporan berhubung tahap kebersihan bandar yang masih terjejas akibat sikap segelintir individu yang membuang sampah merata-rata, khususnya di kawasan pusat bandar dan lokasi tumpuan awam.

“Persoalannya, adakah ini budaya kita? Malaysia sedang melangkah ke arah negara maju dan bersedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, namun sikap tidak bertanggungjawab ini mencemarkan imej bandar raya serta nama negara di mata masyarakat dan pelancong,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan kerajaan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melaksanakan kerja pembersihan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan bandar berada dalam keadaan bersih dan teratur.

Namun, menurut Kor Ming, usaha itu tidak akan memberi kesan sepenuhnya tanpa kerjasama masyarakat.

“Kebersihan bandar bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan, SWCorp atau PBT. Ia tanggungjawab bersama seluruh masyarakat,” tegasnya.

Beliau menambah penguatkuasaan lebih tegas bermula tahun depan bertujuan mendidik masyarakat agar lebih berdisiplin, menghormati ruang awam dan menjaga kebersihan persekitaran.

Pada masa sama, Kor Ming mengingatkan orang ramai agar menggunakan tong sampah yang disediakan dan meningkatkan kesedaran sivik terutama di kawasan tumpuan awam.

“Bandar yang bersih mencerminkan masyarakat berbudaya tinggi. Marilah kita bersama-sama menyokong usaha SWCorp dan PBT untuk menjaga kebersihan demi generasi akan datang,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619