Konduktor orkestra tradisional meninggal dunia, PM ucap takziah

29 Okt 2025, 8:19 AM
Konduktor orkestra tradisional meninggal dunia, PM ucap takziah

SHAH ALAM, 29 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Konduktor Orkestra Tradisional, Mohd Yazid Zakaria yang meninggal dunia tengah hari tadi.

Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada dunia seni tanah air kerana jasa dan dedikasinya dalam memartabatkan muzik tradisional negara.

“Allahyarham bukan sekadar seorang konduktor berbakat, tetapi juga insan seni berjiwa luhur yang menjadikan muzik sebagai wahana menyatukan hati dan memperindah jiwa bangsa,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.

Anwar turut berkongsi rasa simpati terhadap keluarga Mohd Yazid, khususnya apabila anakanda beliau dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada 1 November ini.

"Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang berat ini.

"Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan terhadap jasa dan bakti Allahyarham dalam memartabatkan muzik tradisional tempatan, serta berharap dedikasinya menjadi sumber inspirasi kepada generasi seni akan datang.

Terdahulu, media melaporkan Allahyarham rebah ketika menerima rawatan di sebuah klinik sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Allahyarham baru-baru ini mengetuai persembahan Orkestra Tradisional Malaysia sempena Majlis Makan Malam Gala Asean, dan dikenali sebagai antara konduktor paling berpengaruh dalam pembangunan muzik tradisional negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619