Manfaat pertemuan dengan Trump suarakan isu Gaza termasuk dalam 'The Beast'

28 Okt 2025, 12:24 PM
Manfaat pertemuan dengan Trump suarakan isu Gaza termasuk dalam 'The Beast'
Manfaat pertemuan dengan Trump suarakan isu Gaza termasuk dalam 'The Beast'
Manfaat pertemuan dengan Trump suarakan isu Gaza termasuk dalam 'The Beast'

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa konflik di Gaza dibangkitkan berulang kali dalam pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, termasuk ketika perbincangan di dalam “The Beast”, kenderaan rasmi presiden berkenaan Ahad lalu.

Perdana Menteri menyifatkan Trump sebagai pendengar yang prihatin, justeru beliau memanfaatkan sepenuhnya peluang itu untuk bertukar-tukar pandangan ketika dalam perjalanan dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ibu negara, sambil mengekalkan dialog yang penuh hormat dan membina walaupun pandangan mereka berbeza.

Anwar berkata sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau menyatakan pendirian tegas negara serta mewakili suara rakyat dalam memperjuangkan nasib Palestin.

"Saya beri pandangan (kepada Trump), tetapi hubungan diplomasi ini tidak semua kena ‘jerit’ di luar, yang penting saudara ada mewakilkan kepada saya jadi jurucakap dan saya bercakap untuk pertahankan kepentingan rakyat Palestin dan Gaza.

"Kemudian, dalam sidang bilateral Malaysia–AS, kita ucap terima kasih, biarlah komprehensif (pelan keamanan 20 perkara bagi Gaza)," kata beliau dalam sidang media pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu turut diulangi beliau ketika Sidang Kemuncak Asean–Amerika Syarikat ke-13 di hadapan semua ketua negara Asean.

Anwar menegaskan beliau tidak berpuas hati dengan tindakan pihak tertentu yang mencari publisiti murahan atau cheap political stunt berhubung kehadiran Trump pada persidangan kali ini.

Beliau turut menafikan dakwaan kerajaan menyerah, sebaliknya menekankan ketegasan kepimpinan Malaysia dalam isu antarabangsa.

"Kita asyik (dengan) politik kita. Nak cari cheap political stunt … hal itu saya tidak puas hati sama sekali. Siapa kata kita menyerah? … siapa yang berani berbicara depan Presiden Donald Trump? Setiap kali jumpa Trump, (kita ucap) terima kasih atas penyelesaian awal, tetapi beri penyelesaian sepenuhnya.

“ … saya kata, tak payah sokong saya, tetapi apabila kenyataan ini kita lakukan, berilah sokongan kepada pendirian Malaysia. Malaysia bernasib baik, alhamdulillah, sebab kita Pengerusi Asean,” kata beliau.

Anwar berkata perbincangan secara hati ke hati antara beliau dengan Trump diadakan secara empat mata, membolehkan Malaysia menyuarakan pendirian mengenai isu Gaza secara terus kepada Presiden Amerika Syarikat itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619