Ops Perang Lebih Muatan: 19 lori disita, 14,000 saman dikeluarkan

28 Okt 2025, 10:31 AM
Ops Perang Lebih Muatan: 19 lori disita, 14,000 saman dikeluarkan

SHAH ALAM, 28 OKT: Sebanyak 19 lori disita selepas didapati membawa muatan melebihi 50 peratus daripada had dibenarkan dalam Ops Perang Lebih Muatan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor sejak 14 Oktober lalu.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata sebanyak 29,089 kenderaan pelbagai jenis diperiksa di seluruh negeri sepanjang operasi itu dijalankan.

Menurut beliau, operasi tersebut bertujuan memastikan pematuhan undang-undang pengangkutan dan keselamatan jalan raya dipatuhi sepenuhnya.

“Kami serius dan komited melaksanakan operasi ini setiap hari tanpa henti bagi memastikan pemandu dan pengusaha kenderaan berat mematuhi peraturan,” katanya seperti dilaporkan NST.

Azrin berkata, tindakan tegas diambil bukan semata-mata untuk menghukum tetapi bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya termasuk pemandu lori itu sendiri.

“Peraturan dan garis panduan ini diwujudkan bagi melindungi setiap pengguna jalan raya, maka ia mesti dipatuhi,” tambahnya.

Sepanjang tempoh penguatkuasaan, sebanyak 14,078 saman dan notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, melibatkan 6,597 kesalahan utama.

Kategori pelanggaran tertinggi melibatkan kesalahan teknikal (1,743 kes), diikuti memandu tanpa Lesen Vokasional (GDL) sebanyak 1,122 kes dan memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 1,017 kes.

Selain itu, 1,121 kenderaan dikesan menggunakan cukai jalan tamat tempoh, manakala 566 kes muatan berlebihan turut direkodkan.

Katanya, JPJ turut mengeluarkan 8,449 saman, 2,063 notis larangan penggunaan kenderaan, 2,100 arahan pemeriksaan serta 1,334 notis temu duga kepada pemilik dan pemandu lori.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619