AGENDA

JPJ Selangor keluar lebih 340,000 notis, tayar botak antara kes tertinggi

24 Jan 2024, 12:10 AM
JPJ Selangor keluar lebih 340,000 notis, tayar botak antara kes tertinggi

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mencatatkan peningkatan sebanyak 32 peratus pengeluaran notis dengan 349,289 notis atas pelbagai kesalahan tahun lepas berbanding 263,786 notis pada 2022.

Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata kesalahan teknikal pada kenderaan mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu 111,837 diikuti tiada lesen memandu atau lesen memandu tamat tempoh (30,142), lesen kenderaan motor tamat tempoh (17,799) manakala bakinya melibatkan pelbagai kesalahan lain.

"Kesalahan teknikal ini melibatkan antaranya tayar botak, lampu isyarat rosak… peningkatan jumlah ini mungkin kerana pemandu tidak mengambil berat mengenai kenderaan masing-masing.

"Kita nasihatkan pemandu untuk memeriksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan," katanya pada sidang media selepas menyertai Op Patuh Bersepadu JPJ Selangor di Plaza Tol Puchong Selatan hari ini.

Menerusi operasi itu, sebanyak 1,217 kenderaan diperiksa dan 583 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain tiga kenderaan disita.

Operasi itu, yang bermula pada kira-kira 9 malam, disertai 82 anggota JPJ, 34 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, 10 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta 10 petugas syarikat konsesi lebuh raya.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619