Lelaki mengaku bunuh bekas PM Jepun, Shinzo Abe

28 Okt 2025, 8:52 AM
Lelaki mengaku bunuh bekas PM Jepun, Shinzo Abe

NARA (Jepun), 28 OKT: Seorang lelaki yang didakwa membunuh bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada 2022 mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu pada Selasa.

Perbicaraan yang dinanti-nantikan itu dibuka tiga tahun selepas kejadian tembakan pada Julai 2022, lapor Kyodo News.

Tetsuya Yamagami, 45, dituduh membunuh Abe, perdana menteri pasca perang paling lama berkhidmat di Jepun dengan menggunakan senjata api buatan sendiri semasa ucapan kempen pilihan raya di barat Jepun.

Mahkamah Daerah Nara yang mendengar pengakuan tertuduh akan mengadakan beberapa siri pendengaran sebelum menjatuhkan hukuman pada Januari.

Yamagami memberitahu penyiasat, dia bertindak kerana rasa dendam terhadap Unification Church yang dipersalahkan atas kehancuran kewangan keluarganya selepas ibunya mendermakan kira-kira 100 juta yen (US$660,000) kepada kumpulan itu.

Menurut penyiasat, Abe menjadi sasaran kerana datuknya, bekas Perdana Menteri Nobusuke Kishi, membantu memperkenalkan gereja itu ke Jepun.

Perbicaraan berprofil tinggi itu menarik perhatian umum dengan 727 orang beratur pada pagi Selasa untuk merebut 32 tempat duduk awam yang disediakan di ruang mahkamah.

Pembunuhan itu turut mendedahkan hubungan rapat antara kumpulan agama kontroversi berkenaan dengan ahli Parti Demokratik Liberal yang memerintah, parti yang pernah dipimpin oleh Abe.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619