PM Anwar zahir keprihatinan, arah bantu dua anggota trafik cedera ketika iringi delegasi Asean

28 Okt 2025, 8:51 AM
PM Anwar zahir keprihatinan, arah bantu dua anggota trafik cedera ketika iringi delegasi Asean

HULU SELANGOR, 28 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinan terhadap dua anggota trafik yang cedera ketika menjalankan tugas mengiringi delegasi antarabangsa sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 baru-baru ini, dan telah mengarahkan agar bantuan segera disalurkan kepada mereka.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata beliau mewakili Perdana Menteri untuk menyampaikan sumbangan serta menzahirkan keprihatinan kepada dua anggota terbabit sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka.

“Saya difahamkan kedua-dua anggota mengalami kecederaan serius dalam kemalangan berasingan ketika menjalankan tugas. Sebaik menerima laporan mengenai kejadian, Perdana Menteri terus mengarahkan saya untuk segera menyalurkan bantuan dan menyampaikan kata-kata semangat kepada mereka.

“Ini sebagai tanda penghargaan atas khidmat cemerlang pasukan keselamatan yang memastikan kelancaran Sidang Kemuncak Asean,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan kebajikan kepada dua anggota berkenaan masing-masing di Puchong dan Hulu Selangor, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri serta Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri Omar Mokhtar.

Shamsul Iskandar berkata, bantuan itu juga bertujuan meringankan beban keluarga anggota terbabit yang turut terkesan akibat kecederaan dialami mereka.

"Perdana Menteri mengarahkan agar sumbangan segera diberikan kerana tugas yang mereka laksanakan amat penting demi keselamatan, selain berdepan risiko tinggi," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota keselamatan atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang sidang kemuncak Asean berlangsung.

Dalam kejadian pertama pada Sabtu lepas, Koperal Kamarul Suari, 35, cedera selepas motosikal Kawasaki GTR milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditungganginya dilanggar sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Kilometer 22.3 susur keluar Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil arah Utara, Lebuhraya Elite.

Ketika kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Kamarul yang bertugas di Cawangan Kawalan Lalu Lintas JSPT Kuala Lumpur mengalami kecederaan patah betis kiri, cedera pergelangan kaki kiri serta lutut kiri dan menerima rawatan di Hospital Cyberjaya.

Dalam kejadian kedua pada Ahad lepas, Lans Koperal Muhammad Danial Mohd Nadzri, 25 tahun cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Razak berhampiran susur keluar Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur.

Ketika kejadian Muhammad Danial yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya sedang mengiringi delegasi dari Brazil yang dalam perjalanan menghadiri Sidang Kemuncak Asean sebelum motosikalnya terlanggar bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti secara tiba-tiba.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619