Anwar tegaskan Asean kekal neutral hadapi ketegangan global

28 Okt 2025, 3:20 AM
Anwar tegaskan Asean kekal neutral hadapi ketegangan global

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Keupayaan Asean untuk berinteraksi dengan Amerika Syarikat dan China mencerminkan peranan utama blok itu dalam mengekalkan kestabilan dan kepercayaan serantau di tengah-tengah ketegangan global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak Asean-China ke-28 hari ini, Anwar berkata penglibatan berterusan blok itu dengan semua rakan utama menunjukkan komitmennya untuk menegakkan sikap berkecuali dan kerjasama merentasi perbezaan politik.

“Kalau orang ingin tahu, semalam kami bersama Presiden Donald Trump dari Amerika Syarikat, dan hari ini kami kembali bersama China. Itu mencerminkan keutamaan Asean,” katanya.

“Saya memuji dan mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan saya dalam Asean atas kebijaksanaan mengekalkan keutamaan dan hubungan mesra dengan semua negara.

“Inilah yang kami anggap sebagai penglibatan berterusan yang membina kepercayaan dan membolehkan kita menangani cabaran bersama.”

Anwar berkata dengan penyertaan Timor-Leste sebagai ahli baharu, kepelbagaian pandangan dalam Asean kekal menjadi salah satu kekuatannya.

“Keseragaman pandangan sepenuhnya tidak mungkin dan tidak juga diingini, namun penghargaan terhadap penglibatan China yang konsisten dan konstruktif dikongsi oleh semua,” katanya.

Perdana menteri turut mengalu-alukan pemeteraian protokol naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) 3.0 awal hari ini, dan menyifatkannya sebagai pencapaian penting dalam kerjasama ekonomi serantau.

“Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya di Asean dan China atas pencapaian luar biasa ini,” katanya.

Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri China Li Qiang kerana menghadiri sidang kemuncak itu, sambil menyatakan Asean menantikan kerjasama berterusan dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan serantau.

Sidang Kemuncak Asean-China itu diadakan bersempena Sidang Kemuncak Asean ke-47, yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Malaysia kini memegang jawatan pengerusi Asean, manakala Filipina akan mengambil alih mulai 1 Januari.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619