61 pelajar terkandas di Jakarta pulang malam ini

26 Okt 2025, 11:11 AM
61 pelajar terkandas di Jakarta pulang malam ini

JAKARTA, 26 OKT: Seramai 61 pelajar Malaysia yang sebelum ini terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dijadual pulang ke tanah air pada jam 7.55 malam ini waktu tempatan.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata, pihak kedutaan di Jakarta telah membantu menjaga kepentingan kesemua pelajar terkandas dengan kerjasama ejen pelancongan tempatan.

“Kita berharap perkara sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan. Terima kasih kepada ejen pelancongan yang bersetuju membantu pelajar terbabit sepanjang empat hari program lawatan di sini," katanya.

Beliau berharap agar urusan antara ejen pelancongan tempatan yang membantu kumpulan berkenaan dan penganjur program itu, termasuk urusan pembayaran serta aspek lain dapat diselesaikan secara baik.

Pada Jumaat, media melaporkan bahawa 61 pelajar sekolah dari Selangor terkandas lebih tiga jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta disebabkan isu pengangkutan dan penginapan.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang waktu tempatan itu, para pelajar dari Sekolah Kebangsaan Taman Selasih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kapar tiba di Jakarta menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619