‘Generasi sandwich’ kian terhimpit, Selangor rangka dasar bantu penjaga warga emas

28 Okt 2025, 2:00 AM
‘Generasi sandwich’ kian terhimpit, Selangor rangka dasar bantu penjaga warga emas
‘Generasi sandwich’ kian terhimpit, Selangor rangka dasar bantu penjaga warga emas
‘Generasi sandwich’ kian terhimpit, Selangor rangka dasar bantu penjaga warga emas

SHAH ALAM, 27 OKT: Semakin ramai rakyat Selangor kini tergolong dalam kelompok 'generasi sandwich', golongan pertengahan usia yang memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa warga emas sambil membesarkan anak kecil.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Azmir Kassim berkata peningkatan jumlah warga emas memberi kesan langsung bukan sahaja kepada mereka, tetapi juga penjaga yang semakin terbeban dari segi masa, tenaga dan emosi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor Azmir Kassim. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Apabila ramai warga emas, bukan sahaja mereka yang terkesan, tetapi juga penjaga. Mereka perlu menjaga ibu bapa di usia tua, dalam masa sama menjaga anak-anak sendiri,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Menurutnya, cabaran itu turut mempengaruhi dasar tenaga kerja negeri apabila ramai individu dalam usia produktif terpaksa meninggalkan pekerjaan tetap atau mengurangkan masa bekerja untuk memenuhi tanggungjawab keluarga.

Bagi menangani isu tersebut, Kerajaan Negeri menggubal Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor bertujuan memberi ruang kepada penjaga mendapatkan latihan, bantuan sosial dan peluang bekerja lebih anjal.

“Apabila tenaga kerja semakin terhad kerana ramai berada dalam situasi ini, dasar dan polisi kerajaan juga terjejas. Sebab itu kita mahu penjagaan menjadi sebahagian daripada sistem ekonomi negeri,” ujarnya.

Namun, Azmir mengakui cabaran bukan sekadar beban keluarga tetapi juga kekurangan kemudahan bagi menyokong warga emas di peringkat komuniti.

Katanya, Selangor mempunyai kira-kira 808 pusat jagaan berdaftar, namun hanya 110 daripadanya khusus untuk warga emas, jumlah yang masih jauh daripada mencukupi untuk menampung hampir 900,000 penduduk berusia 60 tahun ke atas.

“Kita baru ada 22 Pusat Aktiviti Warga Emas di seluruh negeri. Bilangan ini terlalu kecil untuk memberi perkhidmatan kepada hampir sejuta warga emas,” katanya.

Bagi memperkukuh jaringan sokongan, JKM kini menggalakkan kerjasama lebih erat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menambah baik kemudahan komuniti dan membina lebih banyak pusat penjagaan harian, sejajar dengan konsep penuaan setempat (aging in place) yang diamalkan di negara maju.

“Kita mahu setiap PBT di Selangor ada sekurang-kurangnya satu pusat aktiviti warga emas. Sekarang baru Majlis Perbandaran Selayang mula melaksanakannya. Kita harap lebih banyak PBT akan menyusul,” jelasnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619