Enam individu ditahan bantu kes bunuh lelaki warga asing

24 Okt 2025, 12:09 AM
Enam individu ditahan bantu kes bunuh lelaki warga asing

ALOR SETAR, 24 OKT: Enam individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah rumah di Kampung Jalan Yan, dekat Guar Chempedak, semalam.

Ketua Polis Daerah Yan Supt Mohamad Hamizi Abdullah berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga tempatan dan empat lelaki Bangladesh berusia 29 hingga 44 tahun, dipercayai tinggal serumah dengan mangsa.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 1 tengah hari apabila suspek iaitu lelaki tempatan berusia 42 tahun menegur mangsa berusia 37 tahun yang merupakan rakan sekerjanya kerana lewat untuk ke tempat kerja.

“Suspek yang tidak berpuas hati mengambil besi kecil manakala mangsa ke dapur untuk mengambil parang. Mangsa kemudiannya terus melibas parang berkenaan ke aras suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek berjaya mengelak libasan parang berkenaan lalu melempar besi itu ke lantai sebelum mencapai wayar kabel berhampiran dan menjerut leher mangsa.

“Semasa sedang bergelut, suspek dapati mangsa sudah tidak sedarkan diri. Suspek kemudiannya ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian, dan hasil siasatan menemukan tiga kesan jerutan di leher dan luka di bahagian bibir mangsa.

“Polis merampas satu gulung wayar, sebilah parang dan satu batang besi konkrik. Kesemua yang ditahan bekerja sebagai buruh binaan dan permohonan reman akan dibuat esok (hari ini),” katanya.

Mohamad Hamizi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619