Sektor pembinaan, pembaikan kapal tarik pelaburan lebih RM1 bilion sejak 2021 – MITI

16 Okt 2025, 2:29 PM
Sektor pembinaan, pembaikan kapal tarik pelaburan lebih RM1 bilion sejak 2021 – MITI

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Sektor pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR) menarik pelaburan lebih RM1 bilion dalam projek pembinaan kapal selain perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sejak 2021 hingga pertengahan 2025.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata pelaburan itu menyokong aktiviti seperti mereka bentuk, membina, membaiki dan menyelenggara selain menukar dan menaik taraf kapal serta aktiviti pengilangan peralatan marin.

Prestasi eksport dalam sektor ini juga menunjukkan jumlah yang positif dengan jumlah lebihan dagangan sejak 2021 sehingga kini mencecah RM3.37 bilion.

"Malaysia mempunyai 110 limbungan yang berdaftar di seluruh Malaysia apabila 38 limbungan terletak di Semenanjung dan 72 limbungan lagi di Malaysia Timur.

"Berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), terdapat sekurang-kurangnya 40 pengeluar peralatan marin di seluruh Malaysia yang melengkapkan rantaian bekalan bagi sektor SBSR tempatan," kata kementerian menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung potensi penglibatan rantaian bekalan industri berasaskan perkapalan antarabangsa yang bakal melonjak pasaran global sehingga US$195 billion (USD1=RM4.22) menjelang 2030.

Dalam pada itu, MITI berkata bagi menarik pelaburan dalam infrastruktur limbungan kapal, kerajaan menyediakan pakej galakan cukai dalam bentuk Pengecualian Cukai Pendapatan iaitu Galakan Taraf Perintis (Pioneer Status) sebanyak 70 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh lima tahun.

Selain itu, turut disediakan ialah Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus ke atas perbelanjaan modal yang layak dilakukan dalam tempoh lima tahun bagi syarikat SBSR yang layak dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Antara lain, kerajaan juga menawarkan Elaun Modal Automasi (Automation CA) untuk menggalakkan syarikat menerima guna teknologi automasi dan Industri 4.0 dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Automation CA ini membolehkan syarikat menuntut elaun cukai sebanyak 200 peratus atau maksimum RM10 juta ke atas perbelanjaan yang layak bagi pembelian mesin, peralatan dan perisian yang berupaya meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi syarikat.

"Pada masa yang sama, kerajaan turut menawarkan fasilitasi kepada syarikat SBSR yang mempunyai Lesen Pengilang di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 untuk mendapatkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan dalam sektor MRO perkapalan yang mula dilaksanakan pada 2024," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619