Peruntukan STR, SARA meningkat bukti kerajaan serius hapus kemiskinan tegar

14 Okt 2025, 4:20 AM
Peruntukan STR, SARA meningkat bukti kerajaan serius hapus kemiskinan tegar
Peruntukan STR, SARA meningkat bukti kerajaan serius hapus kemiskinan tegar
Peruntukan STR, SARA meningkat bukti kerajaan serius hapus kemiskinan tegar
Peruntukan STR, SARA meningkat bukti kerajaan serius hapus kemiskinan tegar

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Peningkatan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dari tahun ke tahun membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata peningkatan peruntukan kepada RM15 bilion pada 2026 berbanding RM10 bilion pada 2024 menjadi antara mekanisme utama untuk menghapuskan kemiskinan tegar serta memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu menghadapi cabaran kos sara hidup.

“Program ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan bantuan secara bersasar,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying. Foto BERNAMA

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) yang ingin mengetahui mengenai pendirian kerajaan berhubung keberkesanan pelaksanaan SARA dalam membantu golongan B40 dan isu laporan kelewatan bayaran yang diterima sebahagian penerima di luar bandar.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa peruntukan bagi STR dan SARA akan meningkat kepada RM15 bilion di bawah Belanjawan 2026 berbanding RM13 bilion pada 2025, yang dijangka memberi manfaat kepada sembilan juta penerima.

Lim berkata setakat ini, terdapat lebih 5.4 juta penerima SARA bulanan di bawah STR direkodkan dengan jumlah kelayakan tahunan sebanyak RM5 bilion.

“Sehingga 13 Oktober 2025, lebih 5.34 juta daripada keseluruhan penerima SARA telah menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan asas di premis berdaftar, mencerminkan kadar penggunaan 98 peratus secara keseluruhan dengan nilai perbelanjaan RM3.3 bilion,” katanya.

Berdasarkan prestasi pelaksanaan program SARA bulanan tahun ini katanya kadar penggunaan tertinggi dicatatkan di Perlis, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan 99 peratus tuntutan penggunaan MyKad dalam pembelian di kedai runcit berdaftar dan seterusnya menafikan kelewatan penggunaan SARA di sebahagian kawasan luar bandar.

Bagi memastikan lebih ramai penerima mendapat akses mudah kepada bantuan ini, katanya setakat 13 Oktober lalu, jumlah kedai Rakan Niaga SARA meningkat kepada 8,400 kedai di seluruh negara.

“Ini termasuk pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini yang terletak di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah berhubung penambahbaikan, mekanisme kawalan ketirisan dan kajian impak jangka panjang dalam memastikan program SARA benar-benar membantu golongan sasaran tanpa menjejaskan kedai runcit mikro, katanya MoF menggalakkan kedai runcit atau peniaga menyertai program Rakan Niaga SARA dengan membuat permohonan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619