Penolong pegawai MAINS maut, kereta dihempap pokok tumbang

8 Okt 2025, 2:20 AM
Penolong pegawai MAINS maut, kereta dihempap pokok tumbang

KUALA PILAH, 8 OKT: Penolong Pegawai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Daerah Jempol maut selepas kereta dinaikinya dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Sawah Lebar- Sungkak di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Muhammad Mustafah Hussin berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11.20 malam semasa mangsa, Muhammad Nawawi Husin, 38, dalam perjalanan dari Jempol menghala ke Seremban.

"Apabila sampai di tempat kejadian, sebatang pokok telah tumbang dan menghempap kereta Perodua Viva dinaiki mangsa. Semasa kejadian cuaca dalam keadaan baik.

"Akibat daripada kemalangan itu, pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Sementara itu, MAINS di laman Facebook rasminya mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Muhammad Nawawi yang meninggal dunia akibat kejadian tersebut.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619