Selangor sasar kadar belia menganggur, tiada latihan kemahiran turun kepada 8.9 peratus

8 Okt 2025, 12:22 AM
Selangor sasar kadar belia menganggur, tiada latihan kemahiran turun kepada 8.9 peratus

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Negeri menyasarkan kadar belia yang tidak bekerja, tidak mengikuti pendidikan formal dan tidak menjalani latihan kemahiran (NEET) menurun kepada 8.9 peratus berbanding 10.2 peratus sebelum ini.

EXCO Belia, Mohd Najwan Halimi, berkata sasaran itu selaras dengan Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 yang digerakkan bagi memperkasa potensi golongan muda dalam aspek ekonomi, sosial dan pembangunan diri.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi mencapai sasaran tersebut antaranya Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS), Selangor Kerjaya, Jelajah Jobcare, serta latihan kemahiran kepada pelajar tahfiz.

“Kita akan memastikan graduan, pelajar tahfiz dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat akses maklumat lebih baik berkenaan program peningkatan kemahiran (upskilling), pemadanan pekerjaan serta modul industri yang relevan.

“Kerajaan Negeri juga akan turun padang memberi tumpuan kepada belia luar bandar supaya mereka tidak terus ketinggalan,” katanya kepada Media Selangor.

Mohd Najwan berkata, Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan insentif gaji minimum atau subsidi kepada majikan yang mengambil graduan dan belia kurang berpengalaman.

Beliau menjelaskan, kerjasama dengan syarikat berasaskan teknologi termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan digital turut diperkukuh supaya kursus yang ditawarkan dapat meningkatkan kebolehpasaran golongan NEET.

“Kita juga akan memperbanyak peluang temuduga secara terus, menganjurkan karnival kerjaya di peringkat daerah, serta menyediakan sokongan logistik seperti elaun perjalanan supaya kos tidak menjadi halangan kepada golongan ini,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619