Media sosial dipenuhi ucapan terima kasih kepada PM, wira GSF, puji tindakan pantas kerajaan

5 Okt 2025, 4:27 AM
Media sosial dipenuhi ucapan terima kasih kepada PM, wira GSF, puji tindakan pantas kerajaan

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Media sosial sejak semalam dibanjiri ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha keras pemimpin nombor satu negara itu yang membawa kepada pembebasan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF), yang ditahan tentera Israel dari Khamis lepas.

Selain itu, ucapan terima kasih yang tidak putus-putus juga dizahirkan kepada 23 sukarelawan negara atas komitmen tinggi mereka dalam menangani situasi sukar itu.

Melalui pelbagai platform media sosial, netizen meluahkan rasa penghargaan terhadap usaha berterusan pihak kerajaan yang disifatkan sebagai cekap, prihatin, dan pantas bertindak dalam usaha membantu 23 wira dan wirawati GSF yang ditahan rejim Zionis itu.

Semua aktivis warga Malaysia telah dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia semalam sebelum tiba di Istanbul pukul 8.40 malam tadi waktu Malaysia.

Seorang netizen Aman Nazman menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan penghargaan kepada Perdana Menteri, pimpinan kerajaan serta wira dan wirawati GSF.

“Pendekatan PMX (Anwar) dalam menangani insiden GSF menunjukkan kebijaksanaan tinggi dalam pengurusan konflik antarabangsa. Melalui hubungan strategik dengan Presiden (Turkiye Recep Tayyip) Erdogan, Malaysia berjaya memanfaatkan saluran diplomatik Turkiye dan Israel bagi membebaskan aktivis Malaysia dengan cepat.

“Tindakan ini membuktikan kepimpinan PMX berwawasan, berpengaruh, dan dihormati di pentas global,” katanya menerusi komen dalam hantaran Facebook Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkongsi foto terkini aktivis-aktivis itu malam tadi.

Seorang lagi pengguna Facebook Irfan Mustafa menerusi ruangan komen itu turut mengucapkan tahniah atas kecekapan kerajaan dalam bertindak membantu aktivis yang ditahan.

"Alhamdulillah, pantas dan efisien. Inilah pentingnya apabila sesebuah negara dipimpin oleh tokoh yang memiliki kemahiran tinggi dalam bidang diplomasi seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Bai Cam turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keberanian dan keprihatinan beliau yang disifatkan tidak pernah luntur dalam membela nasib rakyat Malaysia dan terus mengangkat perjuangan rakyat Palestin.

"Suara Malaysia dalam memperjuangkan keadilan dan kebebasan sentiasa didengar kerana kepimpinan yang berani. Alhamdulillah, semoga perjuangan ini terus diberkati,” katanya dalam ruangan komen menerusi hantaran sama.

Pengguna Facebook, Mohd Yazid menerusi komen di hantaran Perdana Menteri yang berkongsi berita 23 sukarelawan Malaysia telah selamat tiba di Turkiye malam tadi, menzahirkan rasa syukur dan mendoakan keselamatan seluruh aktivis GSF.

“Alhamdullilah, syukur kepada Allah yang mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada seluruh aktivis. Semoga semua sihat dan selamat kembali kepada keluarga tersayang. Jutaan terima kasih Perdana Menteri for endless effort to synergies all diplomatic channels to bring back our Malaysian people (atas usaha berterusan untuk mengkoordinasikan semua saluran diplomatik bagi membawa pulang rakyat Malaysia),” katanya.

Tidak ketinggalan, netizen turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Erdogan dan pemimpin negara lain yang memainkan peranan penting dalam memudahkan proses pembebasan semua aktivis dan sukarelawan Malaysia.

Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619