PM terima anugerah tertinggi Turkiye, lambang eratnya hubungan dua hala

8 Jan 2026, 12:46 AM
PM terima anugerah tertinggi Turkiye, lambang eratnya hubungan dua hala

ANKARA, 8 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima anugerah Order of the Republic, iaitu darjah kebesaran tertinggi Turkiye, sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan republik itu.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dalam satu majlis yang berlangsung di Kompleks Presiden di sini semalam bersempena lawatan rasmi tiga hari Anwar ke republik itu, yang bermula kelmarin.

Turut hadir pada majlis penganugerahan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan berkata beliau menerima penganugerahan itu dengan penuh rasa syukur dan rendah diri, bukan atas kapasiti peribadi, sebaliknya bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.

“Penganugerahan ini juga melambangkan keakraban persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan aspirasi bersama untuk keamanan serta kemakmuran sejagat,” katanya.

Anwar juga berharap pengiktirafan berkenaan akan terus menjadi pemangkin untuk memperkukuh kerjasama Malaysia dan Türkiye merentasi pelbagai bidang strategik, demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Semalam, Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal berkata anugerah itu adalah pengiktirafan tertinggi republik berkenaan yang diberikan kepada pemimpin luar yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan Turkiye.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (USD4.92 bilion), dengan republik itu kekal sebagai rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia.

Pada 2024, Turkiye merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (USD5.28 bilion).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619