Sultan Selangor zahir penghargaan kepada rakyat, meriahkan Pernikahan Diraja Tengku Amir Shah

4 Okt 2025, 11:03 AM

SHAH ALAM, 4 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh rakyat jelata, yang meluangkan masa menyaksikan serta memeriahkan Istiadat Perarakan Pengantin Putera Diraja pada Khamis lalu.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz selamat diijabkabulkan dalam Istiadat Pernikahan Diraja di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, pada 2 Oktober.

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin dan Tengku Amir Shah turut berbesar hati malah terharu dengan keprihatinan serta keterujaan yang ditunjukkan rakyat dari pelbagai kaum dan bangsa, yang julung kali menyaksikan istiadat seumpamanya.

“Dianggarkan lebih 2,000 orang rakyat jelata sama-sama berkumpul di sepanjang Jalan Istana dari perkarangan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

“(Rakyat berkumpul) untuk melihat sendiri perarakan membawa Raja Muda Selangor menuju ke Masjid Istana Diraja, bagi menyempurnakan Istiadat Pernikahan baginda pada 2 Oktober,” menurut hantaran itu.

Pasangan pengantin diraja dinikahkan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir, dengan disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Datuk Setia Putra Alhaj, pada istiadat pernikahan yang diadakan secara tertutup.

Istiadat pernikahan yang dilakukan dengan penuh tertib mengikut adat itu disaksikan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Akad ijab dan kabul dilafazkan pada 10.08 pagi dengan sekali lafaz, disusuli 11 das tembakan meriam oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artilleri Diraja (Istiadat) sebagai menandakan istiadat pernikahan telah disempurnakan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619