Akta 852: Penguatkuasaan mesti tegas, penjual berperanan henti akses remaja kepada rokok

4 Okt 2025, 8:00 AM
Akta 852: Penguatkuasaan mesti tegas, penjual berperanan henti akses remaja kepada rokok
Akta 852: Penguatkuasaan mesti tegas, penjual berperanan henti akses remaja kepada rokok

SHAH ALAM, 4 OKT: Penguatkuasaan sepenuhnya Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) membawa impak positif kerana mengurangkan pengaruh kepada golongan tidak pernah merokok, terutama remaja.

Beberapa individu yang ditemui Media Selangor berkata penguatkuasaan peraturan tersebut akan melindungi generasi akan datang daripada bahaya produk tembakau.

Pembantu bilik pameran, Syahrin Othman berkata kerajaan mengambil langkah tepat apabila mengenakan tindakan tegas terhadap kesalahan seperti menjual, mempamer atau mengedar produk merokok.

Syahrin Othman

"Generasi muda boleh terhindar daripada terjebak tabiat merokok kerana jika mereka tidak terdedah kepadanya sejak awal usia, pasti tidak akan terdorong untuk mencubanya."

"Sejak zaman persekolahan, perlu perbanyak program untuk mendidik masyarakat, terutamanya kanak-kanak tentang bahaya merokok dan kepentingan menghindarinya. Selain itu penguatkuasaan pun mesti tegas," katanya.

Pembantu jualan, M. Devi menyokong langkah tersebut kerana melindungi golongan bawah daripada terdedah kepada produk atau iklan rokok.

M. Devi (kiri)

"Tidak mempamerkan rokok adalah lebih baik kerana ia boleh mengelakkan pembelian secara impuls apabila pelanggan datang untuk membeli barang lain.

“Memang wajar kerajaan buat peraturan ini sebab kita kena lindungi generasi muda buka sahaja daripada rokok tetapi juga melindungi kesihatan mereka. Tapi penguatkuasaan mesti tegas, penjual pula mesti patuh peraturan,” katanya.

Pelajar Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Amirul Syazwan Yusoff berpandangan harga jualan rokok patut ditingkatkan manakala penjual perlu memainkan peranan penting bagi memastikan Akta 852 berjaya dilaksanakan.

Amirul Syazwan Yusoff

"Harga rokok wajar dinaikkan supaya orang ramai terutamanya golongan muda tidak mudah membelinya dan lebih bijak dalam menguruskan kewangan."

"Selain itu penjual juga mesti mematuhi peraturan dan jujur. Jangan menjual rokok kepada golongan bawah umur, ” katanya.

Sepanjang tempoh percubaan Akta 852 dari 1 Oktober 2024 hingga 30 September 2025, sebanyak 400,477 premis telah diperiksa, 20,989 operasi dijalankan, 126,531 notis dikeluarkan dan 966 kertas siasatan dibuka berkaitan pelanggaran akta terbabit.

Akta 852 memperuntukkan tindakan tegas, termasuk mengikut Seksyen 3 (pendaftaran produk merokok), Seksyen 10 (menjual atau mempamerkan produk tidak mematuhi kehendak akta) dan Seksyen 15 (mengilang, mengimport atau mengedar produk tidak mengikut syarat pembungkusan dan pelabelan).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619