AGENDA

Akta 852 lindungi masyarakat terutama kanak-kanak bahaya rokok

24 Sep 2024, 1:00 AM
Akta 852 lindungi masyarakat terutama kanak-kanak bahaya rokok

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) bakal memberi perlindungan kepada masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak daripada bahaya produk berkenaan (rokok dan rokok elektronik atau vape).

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Muaz Sayuti berkata akta itu ditunggu-tunggu oleh ibu bapa dan guru kerana dapat mengawal semua jenis produk rokok yang ada dalam pasaran berikutan ia turut melibatkan soal pendaftaran produk itu dengan KKM.

“Pendaftaran dalam konteks ini bukan seperti ubat-ubatan yang jika berdaftar dengan KKM maksudnya selamat. Pendaftaran melalui akta ini supaya dapat pengawasan dan mengetahui kandungan yang berada dalam produk itu.

“Jika mempunyai kesan kepada kesihatan, akta ini ada kuasa untuk tarik kebenaran terhadap produk terbabit,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV semalam.

Beliau berkata KKM berusaha untuk meluluskan akta itu kerana perlu ada akta khas yang mengawal produk rokok dan vape sedangkan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 berada di bawah Akta Makanan 1983.

“PPKHT berada di bawah Akta Makanan 1983, umum mengetahui bahawa rokok dan vape bukan produk makanan. Disebabkan itu, KKM berusaha untuk meluluskan satu akta yang boleh mengawal produk berbahaya itu.

“Dengan lulusnya akta ini, ia merupakan kejayaan besar buat kami di KKM serta masyarakat. Pelbagai perkara berkaitan akan diperincikan dalam peraturan itu terutama kepada golongan kanak-kanak,” katanya.

Dr Muaz turut memaklumkan kos untuk merawat penyakit yang berpunca daripada produk rokok dan vape amat tinggi berbanding cukai yang diperoleh data pada 2020 yang mendapati kerajaan telah kerugian lebih RM3.5 bilion akibat penyakit berkenaan.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619