Lebih 450 aktivis GSF dari 47 negara termasuk Malaysia ditahan tentera laut Israel

3 Okt 2025, 3:05 AM
Lebih 450 aktivis GSF dari 47 negara termasuk Malaysia ditahan tentera laut Israel
Lebih 450 aktivis GSF dari 47 negara termasuk Malaysia ditahan tentera laut Israel
Lebih 450 aktivis GSF dari 47 negara termasuk Malaysia ditahan tentera laut Israel
Lebih 450 aktivis GSF dari 47 negara termasuk Malaysia ditahan tentera laut Israel

ISTANBUL, 3 OKT: Pasukan tentera laut Israel menyerang sebuah flotila bantuan antarabangsa menuju ke Semenanjung Gaza yang dikepung dan menahan lebih 450 aktivis di atas kapal, menurut penganjur pada Khamis.

Global Sumud Flotilla (GSF) memaklumkan di platform media sosial Instagram bahawa 42 bot telah dipintas secara tidak sah oleh tentera Israel, lapor Anadolu Ajansi.

“Penumpang mereka diculik secara tidak sah,” katanya. “Dunia menyaksikan apa yang berlaku apabila orang awam mencabar sekatan. Namun kapal Marinette masih berlayar.”

Menurut Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Kepungan Gaza (ICBSG), kapal Marinette terus berlayar menuju Gaza tetapi masih jauh selepas tiba lewat berikutan masalah teknikal.

GSF mengesahkan lebih 450 aktivis dari 47 negara telah dipindahkan ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel.

Aktivis di atas kapal yang diserang oleh Israel terdiri daripada pelbagai warganegara, termasuk Sepanyol, Itali, Brazil, Turkiye, Greece, Amerika Syarikat, Jerman, Sweden, Britain, Malaysia, Perancis serta ramai lagi.

Kementerian Luar Israel dalam kenyataan berkata aktivis yang ditahan sedang dibawa ke Pelabuhan Ashdod sebelum dideportasi ke Eropah.

Anadolu memetik penyiar awam Israel KAN sebelum ini melaporkan pasukan tentera laut telah merampas 41 kapal yang membawa kira-kira 400 peserta ketika mereka belayar menuju Gaza dalam operasi selama 12 jam.

KAN berkata semua kapal flotila itu telah ditunda ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel.

GSF berkata tentera Israel mengepung kapal-kapal itu ketika mereka belayar ke arah Gaza untuk mencabar sekatan berpanjangan oleh Tel Aviv. Aktivis turut melaporkan gangguan isyarat dan komunikasi terputus di kebanyakan bot.

Beberapa aktivis memuat naik video di media sosial yang menunjukkan bot tentera laut Israel menghampiri konvoi dan mengarahkan mereka menukar haluan.

Flotila itu, yang membawa terutamanya bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan, belayar pada akhir Ogos. Ia merupakan kali pertama dalam beberapa tahun kira-kira 50 kapal belayar bersama menuju Gaza, membawa ratusan orang awam yang menyokong misi itu .

Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza, yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk, selama hampir 18 tahun, dan memperketatkan lagi sekatan pada Mac lalu apabila menutup lintasan sempadan serta menghalang penghantaran makanan dan ubat-ubatan, menyebabkan wilayah itu terjerumus ke dalam kebuluran.

Sejak Oktober 2023, pengeboman Israel telah meragut nyawa lebih 66,200 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia berulang kali memberi amaran bahawa wilayah itu sedang menjadi kawasan tidak boleh didiami, dengan kebuluran dan penyakit merebak pantas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619