Ratusan rakyat himpun di Kuala Lumpur bantah Israel tahan aktivis Flotilla

2 Okt 2025, 8:10 AM
Ratusan rakyat himpun di Kuala Lumpur bantah Israel tahan aktivis Flotilla

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Ratusan peserta menyertai perhimpunan aman di sekitar Jalan Tun Razak di sini bagi membantah tindakan tentera Israel memintas kapal Global Sumud Flotilla dan menahan aktivis yang berada di atas kapal tersebut.

Mereka dilihat berkumpul seawal jam 2 petang berhadapan bangunan Kompleks Tabung Haji (TH) sambil melaungkan ‘Free Palestine’, ‘Hancur Israel’ dan ‘Bebas Sumud Flotilla’ sambil membawa sepanduk bertulis #breaktheseige #stand4sumud #freepalestine, bendera Palestin serta gambar aktivis Malaysia yang dilaporkan ditahan rejim zionis itu.

Kenderaan di jalanan turut membunyikan hon tanda sokongan kepada ratusan yang berhimpun. Peserta seterusnya berarak ke bangunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) sejauh kira-kira satu kilometer.

Seramai 27 rakyat Malaysia menyertai misi kemanusiaan itu dengan 23 orang berada di atas kapal dan empat lagi memantau pergerakan kapal.

Sebanyak 497 aktivis global dari 46 negara menyertai misi Global Sumud Flotilla kali ini, misi kemanusiaan terbesar pernah digerakkan aktivis. Selain Malaysia, negara dengan aktivis teramai ialah Turkiye (56), Sepanyol (49), Itali (48) dan Tunisia (28).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam kekerasan terhadap aktivis dan sukarelawan Malaysia yang sedang dalam perjalanan ke Gaza.

Dalam kenyataan di Facebook, beliau menggesa semua aktivis yang ditahan dibebaskan segera dan menyifatkan tindakan Israel menyekat misi kemanusiaan ini bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.

Menurut Anwar, Malaysia akan mengambil semua langkah perundangan bagi mempertanggungjawabkan Israel atas tindakan ini, terutama kerana rakyat Malaysia terlibat. Beliau menegaskan Malaysia akan terus berdiri teguh bersama aspirasi perjuangan Palestin selagi hak mereka dilanggar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619