Penceramah motivasi ditahan guna nombor pendaftaran kenderaan orang lain

1 Okt 2025, 7:41 AM
Penceramah motivasi ditahan guna nombor pendaftaran kenderaan orang lain

SHAH ALAM, 1 OKT: Seorang penceramah motivasi ditahan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang selepas didapati menggunakan nombor pendaftaran milik orang lain pada kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner miliknya, Sabtu lalu.

Penahanan kira-kira jam 9.30 malam itu dilakukan Unit Peronda Lebuhraya (UPLR) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lapor Sinar Harian.

Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, semakan mendapati SUV berkenaan menggunakan nombor pendaftaran berbeza pada bahagian hadapan dan belakang.

“Hasil pemeriksaan mendapati nombor PRF dipamerkan di bahagian hadapan, manakala nombor RF di bahagian belakang. Siasatan lanjut mendapati nombor RF adalah sah dan dimiliki individu lain.

“Semakan pangkalan data JPJ turut mengesan 42 saman berjumlah RM12,600 atas kesalahan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) yang direkodkan terhadap nombor milik individu berkenaan sejak 2023,” katanya pada sidang media di Stesen Penguat kuasa Kalumpang, hari ini.

Beliau menjelaskan, tindakan itu dipercayai dilakukan bagi mengelak daripada saman AwAS.

Menurutnya, lelaki berusia lingkungan 50-an itu yang juga ahli perniagaan turut dikesan menggunakan alamat palsu pada lesen memandu serta kad pengenalan.

“Alamat berkenaan wujud, namun tiada penempatan di situ. Salah satu alamat digunakan adalah sebuah hotel. Antara kesalahan had laju yang dikesan pula antara 140 hingga 160 kilometer sejam di beberapa lokasi termasuk Behrang, Ipoh dan Bukit Beruntung,” katanya.

Tambah beliau, kes berkenaan terbongkar selepas pemilik asal kenderaan membuat aduan kepada JPJ susulan menerima notis senarai hitam.

“Untuk makluman, saman AwAS yang dikenakan terhadap pemilik asal nombor RF akan dipindahkan kepada pemilik sebenar nombor PRF yang melakukan kesalahan lalu lintas itu,” jelasnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619