PUTRAJAYA, 20 MAC: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempergiat pelaksanaan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2026 dengan pendekatan lebih strategik, menyeluruh dan berimpak tinggi bagi membudayakan pemanduan berhemah dalam kalangan rakyat.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata kempen tahun ini tampil dengan naratif baharu yang memberi penekanan kepada penyampaian mesej keselamatan secara lebih agresif, kreatif dan inklusif melalui pelbagai platform termasuk media arus perdana serta digital.
"Buat julung kali, JPJ turut menerbitkan iklan khas ‘Hari Raya Aidilfitri JPJ’ yang sarat dengan mesej keselamatan, disampaikan secara santai dan dekat dengan jiwa masyarakat bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kempen itu turut diperkuat melalui kolaborasi strategik bersama biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza serta selebriti dan pempengaruh terkenal seperti Izzue Islam dan Boss James, yang membantu menyampaikan mesej keselamatan kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam masa sama, Aedy Fadly berkata JPJ tidak mengetepikan aspek penguatkuasaan, sebaliknya mengimbanginya dengan operasi berfokus di kawasan hotspot, pelaksanaan larangan pemanduan terhadap kenderaan barangan serta penggunaan teknologi dron bagi meningkatkan pemantauan di lebuh raya utama.
"Pendekatan ini menegaskan bahawa keselamatan jalan raya tidak boleh bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh melalui pembentukan kesedaran, peningkatan kefahaman serta perubahan sikap pengguna jalan raya secara berterusan terutamanya di musim perayaan," katanya.








