Salah guna dana zakat RM170,000, bekas pembantu tadbir LZS dipenjara setahun

30 Sep 2025, 1:33 AM
Salah guna dana zakat RM170,000, bekas pembantu tadbir LZS dipenjara setahun

SHAH ALAM, 30 SEPT: Seorang bekas pembantu tadbir Lembaga Zakat Selangor (LZS) dipenjara selama setahun selepas mengaku menyeleweng lebih RM170,000 dana zakat dengan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun suami dan ibunya.

Tertuduh, Siti Azrin Mohamad Aini, 35, dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Majistret Shah Alam selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu pihak majikannya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Azrin yang mempunyai lima anak dikenakan hukuman penjara enam bulan selepas didapati memasukkan RM62,525 ke akaun ibunya antara Jun 2019 hingga Disember tahun lalu.

Pertuduhan kedua pula menyaksikan wanita yang sedang sarat mengandung tujuh bulan itu dihukum penjara 12 bulan kerana menyalurkan RM108,050 ke akaun suaminya dari Mac 2020 hingga Disember 2023.

Namun, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman memutuskan hukuman berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan hanya selama 12 bulan dari tarikh sabitan.

Siasatan mendapati Siti Azrin memanipulasi sistem agihan dalaman Wakalah Agihan Zakat (WAZ) dengan menukar butiran penerima sah dan menggantikannya dengan nama suami serta ibunya untuk tujuan pemindahan dana.

Peguamnya, Ain Jaafar, merayu agar mahkamah mempertimbangkan hukuman denda memandangkan tertuduh perlu menjaga ibunya yang telah lanjut usia.

Sekiranya penjara diperlukan, beliau memohon tempoh minimum satu hari hingga tujuh hari sahaja.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Muaz Khawarizmi Azfar menegaskan perlunya hukuman berat sebagai pengajaran kerana kes membabitkan jumlah besar serta pelanggaran amanah dalam pengurusan dana zakat.

Mahkamah menolak rayuan pihak pembelaan dan menegaskan kepentingan awam perlu diberi keutamaan kerana dana zakat adalah untuk membantu golongan memerlukan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619