Tiga pemain JDT dilarang beraksi dalam saingan liga - MFL

29 Sep 2025, 9:31 AM
Tiga pemain JDT dilarang beraksi dalam saingan liga - MFL

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan tiga pemain warisan Johor Darul Ta’zim (JDT) dilarang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sepanjang tempoh penggantungan, susulan denda dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara.

Tiga pemain berkenaan ialah penyerang Joao Figueiredo, pertahanan Jon Irazabal dan tonggak tengah Hector Hevel.

“MFL hari ini mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada FAM berhubung keputusan penggantungan tujuh pemain warisan selama 12 bulan oleh FIFA.

“Tindakan susulan bagi kes ini hanya akan dibuat MFL selepas keputusan rayuan FAM diumumkan oleh FIFA,” menurut kenyataan MFL hari ini.

Pada Jumaat lepas, FAM dan tujuh pemain terbabit dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA menerusi kenyataan memaklumkan FAM didapati menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Empat lagi pemain dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.

Semalam, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619