Penerima STR mula nikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter

28 Sep 2025, 12:28 AM
Penerima STR mula nikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter
Penerima STR mula nikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter
Penerima STR mula nikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter
Penerima STR mula nikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan golongan B40 menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula tengah malam tadi.

Pelaksanaan bagi kumpulan kedua itu menyusuli kejayaan fasa pertama yang melibatkan kira-kira 300,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang setakat tengah hari semalam berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelaksanaan hari pertama itu turut bertindak sebagai ujian tekanan terhadap keupayaan sistem dan stesen minyak yang telah membuat persediaan menjelang penggunaan lebih meluas Selasa ini.

Inisiatif subsidi bersasar yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September itu dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan secara mendadak.

Selepas penerima STR, ia akan diperluas kepada kira-kira 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif bermula 30 September ini.

Anwar sebelum ini berkata subsidi bersasar itu adalah hasil daripada usaha tadbir urus yang baik serta pembersihan amalan ketirisan kewangan negara.

Beliau berkata usaha itu dapat direalisasikan atas tekad Kerajaan MADANI dalam memastikan negara ditadbir secara telus, mengamalkan pengurusan kewangan berhemah dan membanteras rasuah.

Menurut Anwar, semua warganegara tanpa mengira tahap pendapatan yang mempunyai lesen memandu aktif secara automatik layak menikmati manfaat BUDI95.

“Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia. Penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Namun, tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan prasarana asas,” jelasnya.

Setiap rakyat Malaysia yang layak akan menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan berkenaan dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.

Bagi golongan yang tidak layak seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga tanpa subsidi yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619