PM: Elak pilih pemimpin rosakkan negara, tanam bibit kebencian

27 Sep 2025, 4:23 AM
PM: Elak pilih pemimpin rosakkan negara, tanam bibit kebencian

SANDAKAN, 27 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak memilih pemimpin yang merosakkan negara dan menanam bibit kebencian sesama rakyat, sebaliknya memastikan kepimpinan negara diurus dengan amanah dan tatakelola yang baik.

Beliau berkata rakyat perlu memilih pemimpin yang sentiasa menjaga kepentingan rakyat dan tidak mengamalkan sikap mengaut keuntungan apabila mempunyai kuasa.

“Kita banyak mendengar tentang pemimpin yang mencuri sana, mencuri sini. Budaya sebegitu mesti dihentikan. Kita perlu tindakan yang tegas.

“Kadang-kadang mereka sendiri pernah jadi pemimpin yang kaya, membolot projek besar tetapi tetap marah pada orang lain. Tidak boleh begitu. Mesti ada kesungguhan untuk membetulkan keadaan,” katanya pada Majlis Jelajah Wira MADANI dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Anwar berkata dalam soal pertahanan dan keselamatan, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan ketirisan, keborosan serta rasuah kerana ia akan melemahkan negara walaupun perbelanjaan pertahanan mencecah berbilion ringgit.

“Ketirisan, keborosan, rasuah mesti dihalang. Kalau tidak, sehebat mana pun negara, ia akan jatuh. Kalau yang diamanahkan itu kerjanya pecah amanah, negara akan rosak,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut memuji dan berpuas hati dengan prestasi APMM yang semakin baik selepas kerajaan menambah peruntukan kepada agensi itu.

Beliau berkata kawasan perairan negara yang luas memerlukan aspek keselamatan dan aset pertahanan negara setiasa bersedia serta lengkap.

“Negara ini aman tetapi kita berdepan dengan masalah penyeludupan manusia, senjata, dadah dan juga pencerobohan. Semua ini memerlukan satu angkatan yang disiplin dan berkelengkapan baik.

“Malaysia ini aman hasil daripada sumbangan dan pengorbanan pasukan keselamatan, termasuklah APMM. Sebab itu kita harus sentiasa memastikan kelengkapan dan disiplin mereka terjaga. Tanggungjawab ini mesti disempurnakan dengan penuh amanah.

“Justeru, saya ucapkan terima kasih kepada APMM dan juga rakan-rakan dalam pasukan keselamatan lain kerana menjalankan tanggungjawab dengan baik,” kata Perdana Menteri.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619