300,000 anggota tentera, polis nikmati inisiatif BUDI95 tengah malam tadi

27 Sep 2025, 4:01 AM
300,000 anggota tentera, polis nikmati inisiatif BUDI95 tengah malam tadi

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang mula dilaksanakan tengah malam tadi.

Golongan berkenaan merupakan peringkat pertama menikmati subsidi petrol itu selaras dengan pengumuman yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lalu, tentang sistem subsidi bersasar petrol RON95 yang diberi secara berperingkat kepada rakyat.

Selepas anggota tentera dan polis, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 pula akan menikmatinya pada 28 September, diikuti 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif pada 30 September ini.

Anwar sebelum ini berkata semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan, yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik.

“Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia. Penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Namun, tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan prasarana asas,” kata Perdana Menteri.

Setiap rakyat Malaysia yang layak, katanya akan menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan manakala pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan terbabit dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.

Bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan RM2.60 seliter.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619