MOF akan sekat MyKad individu salah guna subsidi BUDI95

24 Mac 2026, 12:31 AM
MOF akan sekat MyKad individu salah guna subsidi BUDI95

KUALA LUMPUR, 23 MAC - Kementerian Kewangan (MOF) akan menyekat kad pengenalan individu dikesan menyalahgunakan bantuan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan mengisi petrol bersubsidi itu ke dalam tong atau bekas kosong yang tular di media sosial.

MOF memaklumkan perbuatan itu jelas melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95 dan berpotensi menjejaskan usaha kerajaan memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar serta berkesan.

“Siasatan mendapati individu terbabit warganegara Malaysia dan pemegang MyKad. Susulan itu, MOF akan mengambil tindakan menyekat kad pengenalan yang digunakan dalam transaksi itu serta pemilik kenderaan daripada terus menikmati BUDI95,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan dan salah guna subsidi, khususnya dalam ketidaktentuan situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api.

Terdahulu, tular rakaman video di stesen minyak memaparkan perbuatan dua individu mengisi petrol RON95 ke dalam sebuah tong yang diletakkan pada tempat letak barang sebuah kenderaan.

MOF memaklumkan kerajaan menghargai rakyat yang cakna serta menyalurkan aduan berhubung isu itu dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab.

Orang ramai dialu-alukan terus menyalurkan maklumat dan membuat aduan rasmi dengan menghubungi Pusat Khidmat BUDI MADANI menerusi talian 1300-88-9595 atau WhatsApp +603-26314595 atau e-mel budimadani@treasury.gov.my.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619