Warga emas cubit pipi wanita didenda RM2,500

22 Sep 2025, 10:00 AM
Warga emas cubit pipi wanita didenda RM2,500

PARIT, 22 SEPT: Seorang warga emas didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyentuh dan mencubit pipi seorang wanita, awal bulan ini.

Majistret Nurul Izalina Rajaai juga memerintahkan Samsuri Kamaruddin, 63, menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Beliau menasihatkan Samsuri untuk menjaga batasan termasuk dengan orang dikenali.

“Kita semua ada kenalan masing-masing, tapi perlu menjaga batas. Dengan sesiapa pun, kalau bukan mahram, tidak perlu sentuh-sentuh pipi, sentuh tangan. Perbuatan kamu bukan setakat menjatuhkan maruah mangsa tetapi juga ahli keluarga kamu,” katanya.

Samsuri didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang wanita berusia 23 tahun dengan maksud mencabul kehormatannya pada 4 petang 5 Sept di sebuah kedai runcit di Simpang 4 Bota Kanan, Perak Tengah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu didakwa menyentuh pipi kiri wanita itu yang merupakan pekerja kedai runcit tersebut dua kali semasa mangsa membuat kira-kira di kaunter bayaran.

Wanita itu telah memarahi tertuduh, namun warga emas itu tetap menyentuh dan mencubit pipi mangsa, menyebabkan dia trauma dan takut untuk hadir bekerja.

Peguam Nurul Syuhada Mohd Yusof merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya kerana lelaki itu tidak bekerja dan ditanggung dua anak, selain isterinya menghidap penyakit jantung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri.

Samsuri membayar denda itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619