LRT3 lewat: Kontraktor berdepan denda RM474.8 juta setakat 31 Disember 2025

3 Mac 2026, 7:08 AM
LRT3 lewat: Kontraktor berdepan denda RM474.8 juta setakat 31 Disember 2025

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Kontraktor utama projek LRT3 berhak dikenakan denda Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM474.8 juta setakat 31 Dis tahun lepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata jumlah itu berdasarkan kepada nilai LAD harian yang ditetapkan ke atas kontraktor berkenaan sebanyak RM2.7 juta bagi setiap hari kelewatan.

Beliau berkata jika dikira dari tamat Lanjutan Masa (EOT) No. 2 iaitu pada 10 Julai 2025, jumlah hari kelewatan hingga 31 Dis 2025 adalah sebanyak 174 hari.

“Pihak kontraktor utama sedia maklum berkenaan LAD tersebut dan pihak Prasarana telah pun mendapat jaminan daripada pihak kontraktor utama untuk mengurus dan menyelesaikan kesemua masalah yang berbangkit dalam tempoh terdekat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Loke menjawab pertanyaan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai jumlah nilai LAD yang akan dikenakan terhadap kontraktor Setia Utama LRT3 Sdn Bhd setakat 31 Dis 2025 kerana tidak menepati jadual penyiapan projek LRT3 dan adakah kelewatan melibatkan kegagalan Siemens untuk menyediakan perisian memuaskan mengikut jadual.

Beliau berkata selain kegagalan pihak pembekal sistem semboyan iaitu Siemens dalam menyediakan perisian yang memuaskan mengikut jadual ditetapkan, kelewatan projek juga disumbang beberapa faktor lain.

Ini termasuk kelewatan pelaksanaan ujian kritikal pakej sistem yang lain seperti sistem komunikasi, ujian-ujian integrasi ( SIT) yang kini telah selesai dan beberapa siri kegagalan semasa pengujian Larian Tanpa Gagal (FFR).

Loke berkata fokus utama pihak Prasarana buat masa ini adalah bagi menyelesaikan pengujian FFR yang berbaki lapan set tren.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619