Warga emas hilang lebih seminggu ditemui mati dalam semak

22 Sep 2025, 1:28 AM
Warga emas hilang lebih seminggu ditemui mati dalam semak

MIRI, 22 SEPT: Seorang lelaki warga emas yang keluar meninggalkan rumahnya lebih seminggu lepas ditemukan meninggal dunia dalam keadaan reput di kawasan Sebubok, Batu Niah malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan mayat Chong Nyuk Fan, 77, ditemukan berhampiran lokasi kenderaan pacuan empat roda milik mangsa ditinggalkan.

Kenyataan itu memaklumkan PGO menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada 9.18 malam.

“Pihak bomba bersama polis kemudiannya menuju ke lokasi kejadian dan tiba pada 9.44 malam... operasi pencarian dijalankan di dalam radius 50 meter dari tempat kenderaan mangsa dijumpai dan dalam tempoh 20 minit, mangsa telah ditemukan di kawasan rumput tinggi di bahu jalan dalam keadaan reput,” menurut kenyataan itu.

Menurut PGO, berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh keluarganya semalam, Chong keluar dari rumah di kawasan Senadin pada 14 Sept lepas dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda itu tanpa memaklumkannya kepada mereka.

“Semakan pada Sistem Penentu Kedudukan Global mendapati kenderaan tersebut telah dipandu dari Miri ke Belaga pada 14 Sept sebelum menuju ke simpang Batu Niah pada 17 Sept yang merupakan lokasi terakhir dikesan… kenderaan itu kemudiannya ditemukan di tepi jalan namun mangsa tiada di dalamnya,” katanya.

Usaha keluarga mangsa mencari warga emas berkenaan di kawasan itu juga gagal sebelum laporan polis dibuat untuk mendapatkan bantuan bagi mengesan keberadaan Chong.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619