Lebih 200 warga emas dan OKU terima bantuan keperluan harian, perubatan - MPHS

20 Mac 2026, 6:35 AM
Lebih 200 warga emas dan OKU terima bantuan keperluan harian, perubatan - MPHS

SHAH ALAM, 20 MAC: Lebih 200 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menerima sumbangan keperluan harian serta perubatan menerusi Program Sumbangan Ikhlas anjuran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menjelang Aidilfitri.

MPHS memaklumkan program itu bertujuan menyantuni golongan memerlukan di samping menyemarakkan semangat kebersamaan serta keprihatinan dalam kalangan warga pihak berkuasa tempatan berkenaan.

"Program dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan MPHS ini bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan serta menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan warga MPHS," menurut kenyataan di Facebook.

Yang Dipertua MPHS Julaihah Jamaluddin menyantuni penghuni Rumah Sinar Harapan Kuala Kubu Bharu ketika Program Sumbangan Ikhlas anjuran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada 19 Mac 2026. Foto Facebook Majlis Perbandaran Hulu Selangor

Rombongan terlebih dahulu mengunjungi Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu yang menempatkan kira-kira 100 warga emas bagi menyampaikan sumbangan berupa keperluan perubatan, makanan ringan, susu serta barangan asas lain.

Seterusnya, MPHS turut melawat Rumah Sinar Harapan Kuala Kubu Bharu yang menempatkan 184 penghuni OKU fizikal dan mental dengan menyampaikan bantuan keperluan perubatan, makanan kering serta susu.

Menurut MPHS, inisiatif diketuai Yang Dipertua MPHS Julaihah Jamaluddin bersama Ahli Majlis kawasan Saripah Bakar, Law Suet Peng dan Abdul Mun’im Roslin, selain disertai wakil beberapa jabatan MPHS.

Turut hadir adalah wakil daripada Kelab Sukan dan Kebajikan MPHS, Jabatan Pembangunan Masyarakat MPHS, Jabatan Penilaian MPHS serta Jabatan Bangunan MPHS.

Yang Dipertua MPHS Julaihah Jamaluddin menyampaikan sumbangan keperluan harian serta perubatan kepada penghuni Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu pada 19 Mac 2026. Foto Facebook Majlis Perbandaran Hulu Selangor

MPHS turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih meluas daripada pelbagai pihak, selain menggalakkan orang ramai tampil sebagai sukarelawan membantu institusi kebajikan.

Selain aktiviti kebajikan, MPHS turut mengambil kesempatan meninjau beberapa kawasan sekitar yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan infrastruktur.

"Tinjauan ini bertujuan memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik serta selamat digunakan oleh masyarakat setempat," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619