Itali sekat Israel sertai pesta pelancongan antarabangsa

21 Sep 2025, 1:30 PM
Itali sekat Israel sertai pesta pelancongan antarabangsa

ROM, 21 SEPT: Pihak berkuasa Itali memutuskan untuk mengecualikan Israel daripada menyertai pesta pelancongan antarabangsa, TTG Travel Experience 2025, yang dijadual berlangsung di Bandar Rimini dari 8 hingga 10 Oktober, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Keputusan ini dibuat susulan tekanan yang semakin meningkat daripada pihak majlis perbandaran bandar itu serta kemarahan awam yang meluas terhadap serangan berterusan Israel yang disifatkan sebagai serangan genosid di Semenanjung Gaza.

Datuk Bandar Rimini, Jamil Sadegholvaad berkata keputusan itu dibuat atas dasar kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat dan risiko berlakunya protes besar-besaran, sejajar dengan ketegangan yang memuncak di seluruh Itali akibat perang di Gaza.

Beliau menegaskan, membenarkan penyertaan Israel boleh menjadikan acara itu sebagai medan demonstrasi besar.

Penganjur pameran itu Italian Exhibition Group (IEG) turut mengesahkan yang syarat untuk penyertaan Israel tidak lagi sah.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu menyatakan yang kehadiran Israel di pameran itu menjadi sesuatu yang "tidak sesuai daripada segi moral dan profesional" memandangkan kemusnahan dan kehilangan nyawa yang berterusan di Gaza.

Syarikat itu memetik liputan media dan kenyataan rasmi pihak berkuasa Itali yang menegaskan bahawa "mempromosikan kawasan yang sedang dilanda perang, kemusnahan dan kematian sebagai destinasi pelancongan adalah sesuatu yang tidak beretika dan tidak profesional."

IEG, yang turut menguruskan lokasi Rimini Fiera selepas bergabung dengan kumpulan pameran dari Vicenza, menyatakan yang mereka memaklumkan secara rasmi kepada lembaga pelancongan Israel bahawa syarat penyertaan mereka dibatalkan.

Keputusan itu mencerminkan pendirian rasmi kerajaan perbandaran Rimini dan pihak berkuasa wilayah Emilia-Romagna, di bawah bidang kuasa mereka di mana acara itu dianjurkan.

TTG Travel Experience antara acara industri pelancongan terkemuka dunia, yang menghimpunkan pemain industri utama dan pihak berkepentingan dari kira-kira 70 negara.

Pengecualian Israel ini dibuat susulan gelombang demonstrasi di seluruh Itali yang menyatakan solidariti terhadap Palestin, dengan penunjuk perasaan dan kumpulan masyarakat sivil menuntut penghentian kerjasama dengan Israel dan penguatkuasaan sekatan sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan di Gaza.

--BERNAMA-WAFA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619